fbpx

Warga emas maut dirempuh motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian yang melibatkan seorang warga emas maut di Jalan Kuala Krai dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang melintas jalan untuk ke farmasi di Jalan Kuala Krai dekat Wakaf Che Yeh di sini semalam.

Dalam kejadian kira- kira pukul 7.30 petang itu, mangsa, Muhammad Jusoh@Yusoff, 72, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan pesara kerajaan sedang melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan untuk ke kedai farmasi.

Menurutnya, sewaktu mangsa melintas jalan, sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggang seorang lelaki berusia 22 tahun melalui jalan tersebut.

“Ekoran jarak yang terlalu dekat, lelaki itu gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya selepas menyedari mangsa melintas secara mengejut.

“Insiden itu menyebabkan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak sebelum merempuh warga emas berkenaan sehingga mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki dan luka-luka ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI