fbpx

Ramai terhibur lihat kanak-kanak cekik ‘gengster kampung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan seorang kanak-kanak perempuan mengalihkan angsa untuk mengambil telur haiwan tersebut yang menghiburkan pengguna media sosial.

PETALING JAYA – Keberanian seorang kanak-kanak perempuan menangkap dan mengalihkan tiga ekor angsa secara bersahaja bagi mendapatkan telur haiwan berkenaan membuatkan pengguna media sosial terhibur serta kagum.

Menerusi satu rakaman video berdurasi 53 saat yang dimuat naik ke laman Facebook, kelihatan kanak-kanak berkenaan tanpa sebarang perasaan takut mencengkam leher haiwan itu dan mengalihkannya sambil dirakam oleh individu dipercayai ibunya.

Sejak dimuat naik semalam, rakaman video berkenaan turut telah dikongsikan oleh beberapa halaman Facebook dan mendapat ribuan tontonan serta komen dengan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Menurut seorang pengguna Facebook dengan nama Nur Ain, keberanian kanak-kanak itu amat dikaguminya memandangkan haiwan tersebut amat terkenal dengan sifatnya yang suka mengejar orang dan digelar sebagai ‘gengster kampung’.

“Kagum betul dengan adik ni, sikit pun tak takut walaupun angsa tu dah tundukkan leher begitu bersedia nak menyerang, kalau akak dah tak cukup tanah lari dik.

“Dulu waktu akak jalan kaki nampak ‘gengster kampung ni tengah jalan akak sanggup patah balik tau,” ujarnya berseloroh.

“Baru buku bertemu ruas, akhirnya rahsia untuk menundukkan haiwan ini terbongkar dan boleh dipraktikkan oleh kami mangsa kejar yang teraniaya, tak sabar nak cuba,” ujar pengguna dengan nama Aim Ahmad.

Walau bagaimanapun, tindakan kanak-kanak berkenaan turut mendapat beberapa kecaman daripada pengguna media sosial yang khuatir jika haiwan tersebut cedera namun kebimbangan itu dijawab oleh seorang wanita yang mengaku sebagai ibu kepada kanak-kanak tersebut.

“Saya pemilik video berkenaan, mohon fikir positif ye tuan, angsa itu berat daripada dia, jangan risau mereka berkawan sejak kecil lagi.

“Seorang budak macam dia tak kuat nak angkat angsa tu untuk ambil telur dan angsa memang bersifat defensif terutamanya ketika sedang mengeram,” ujar pengguna Facebook dengan nama Al Mera.

Jelas wanita berkenaan, selain angsa, keluarga mereka turut membela ayam serta itik dan kanak-kanak berkenaan juga yang selalu memberinya makan.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI