fbpx

Peralatan restoran habis licin dicuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan restoran milik Nor Saidatul Hafiza yang kosong setelah hampir kesemua peralatannya hilang dipercayai dicuri di Kampung Teluk Kalong, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Niat sepasang suami isteri untuk membuka kembali operasi restoran tom yam yang ditutup hampir setahun terbantut selepas mendapati hampir semua perkakasan premis perniagaan tersebut hilang dipercayai dicuri.

Kehilangan tersebut hanya disedari Nor Saidatul Hafiza Zulkifli, 30,dan suaminya, Wan Muhamad Ikrimah Wan Rozali, 28, sewaktu datang untuk mengemas premis tersebut pada pukul 2 petang, semalam.

“Hampir setahun restoran itu tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lagipun kami yang menetap di Balok, Kuantan, Pahang sukar untuk merentas negeri.

“Begitupun, kami berhasrat untuk membuka (restoran) semula pada masa terdekat kerana sudah lengkap dua dos vaksinasi baru-baru ini. Alangkah terkejutnya apabila mendapati premis kami kosong sewaktu tiba untuk membuat persiapan semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Nor Saidatul Hafiza berkata, pemeriksaan mendapati 100 biji kerusi, 30 biji meja bernilai RM350 satu set, pendingin hawa, 18 biji tong gas, sebuah peti sejuk dan pinggan mangkuk telah hilang melibatkan kerugian lebih RM50,000.

Tambah beliau, sebelum ini, kesemua barangan dan perkakasan tersebut didapati masih terletak elok di dalam restoran sewaktu dia mengunjungi premis perniagaannya pada dua minggu lalu.

“Berdasarkan maklum balas penduduk setempat, kecurian itu berkemungkinan berlaku pada Sabtu lalu apabila ada yang ternampak kesemua barangan dipunggah masuk ke dalam sebuah lori berwarna merah,” katanya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI