fbpx

Elisya, Uzair kahwin muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELISYA SANDHA dan Uzair Haqimy.

BAGAI pinang dibelah dua. Pepatah tersebut sesuai disimpulkan buat pasangan mempelai sama cantik sama padan iaitu pelakon Elisya Sandha bersama pasangan hidupnya, Uzair Haqimy selepas disatukan sebagai pasangan suami isteri pada Sabtu lalu.

Biarpun majlis pernikahan mereka dibuat secara mengejut tanpa sebarang hebahan umum atau pemberitahuan awal termasuk kepada pihak media, apa yang penting urusan mereka bergelar suami isteri berjalan lancar.

Kedua-dua mereka masih muda. Pun begitu, usia tidak menjadi penghalang bagi Elisya, 22, dan Uzair, 25, untuk sama-sama membina serta melayari bahtera alam rumah tangga.

Kalau sudah jodoh ditentukan Tuhan, tiada kuasa lain yang mampu melawan kehendak takdir. Lumrah bagi setiap pasangan mempelai mengimpikan sebuah majlis pernikahan dan persandingan yang meriah dihadiri sanak saudara serta teman rapat.

Bagaimanapun, situasi semasa Covid-19 yang melanda bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia meragut impian ramai yang bergelar raja sehari untuk mencipta sebuah memori seindah kayangan.

Baik Elisya mahupun Uzair, mungkin impian untuk mengadakan majlis perkahwinan penuh gilang-gemilang barangkali berada di kedudukan ke-10 memandangkan keadaan pandemik Covid-19 yang masih menggila.

JIKA tiada halangan, Elisya bercadang untuk melangsungkan satu majlis resepsi di kampung halamannya
di Perlis nanti.

Saat akhir

Tanggal 21 Ogos, sekitar pukul 3.11 petang menjadi hari cukup bermakna buat mereka apabila termeterainya ikatan suci bernama pernikahan.

Lima tahun saling menyulam cinta sejak sejak daripada bangku sekolah, Elisya dan Haqimy kini saling melengkapi.

Anggun mengenakan persalinan rekaan Teh Firdaus dan ditatarias oleh Datuk Alha Alfa, pasangan itu selamat bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd. Faisal Abdullah.

Pada majlis ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tempoh hari, Elisya atau nama penuhnya, Nur Elisya Hassan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.

Adik kepada aktres Fasha Sandha itu berkata, majlis pernikahannya pada asalnya dirancang pada 22 Februari 2022.

“Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada saat akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin dalam keadaan serba sederhana.

“Dengan situasi pandemik Covid-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian masih tinggi, segala-segalanya perlu dipercepatkan. Termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu,” katanya.

DALAM majlis pernikahan yang diadakan Sabtu lalu, Elisya turut mengenakan barang kemas tajaan Habib Jewels. Dia tujuh dulang hantaran berbalas lima kepada pihak lelaki.

Perancangan

Jauh di sudut hati, Elisya tetap menyimpan angan untuk meraikan saudara-mara serta teman dengan sebuah majlis keraian di kampung halamannya di Perlis.

“Cuma tarikhnya belum tahu lagi,” kata pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu.

Ditebak tentang perancangan masa depan selepas berkahwin, kata Elisya, mereka merancang untuk tinggal di rumah yang dibeli suaminya.

Cuma buat masa ini, dia dan suami mahu menghabiskan masa bersama keluarga terlebih dahulu sebelum mula melangkah masuk ke kediaman sendiri.

Ditanya mengenai suami tercinta, Elisya menyifatkan Uzair sebagai seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab.

“Perkara utama yang membuatkan saya tertarik kepada dia ialah sikapnya yang menjaga dan menyayangi keluarga.

“Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik. Insya-Allah. Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua. Bahkan kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” kongsinya.

ELISYA menerima wang hantaran berjumlah RM22,222.22 daripada pihak pengantin lelaki berserta seutas gelang emas putih sebagai mas kahwin.

Melengkapi

Berkongsi sedikit tentang perasaan kakaknya Fasha Sandha, wanita itu sebenarnya menyimpan perasaan gembira bercampur sedih.

Mana tidaknya, Fasha sebelum ini pernah berkongsi rasa apabila mengakui berat untuk ‘melepaskan’ Elisya yang dianggap masih ‘bayi kecil’ dalam keluarganya.

“Melepaskanmu bukan satu perkara yang mudah kerana pada Angah, Elisya masih lagi ‘our baby girl’.

“Walaupun berat, sejujurnya apa sahaja yang akan membuatmu bahagia, kami turuti. Bahagia Elisya, maka kami juga akan turut bahagia,” kata Fasha sewaktu majlis pertunangan adiknya sekitar Januari lalu.

Bahkan, pelakon itu turut menitipkan nasihat kepada Elisya dan Uzair supaya saling melengkapi antara satu sama lain.

Sementara itu, Uzair yang merupakan anak sulung kesayangan kepada pasangan produser terkenal, Shiela Rusly dan Jinggo pula memberitahu dia begitu menyenangi peribadi isterinya.

“Dia sangat menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing-masing.

“Ini fasa baharu untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga dipermudahkan,” kata Uzair bersulam bahagia.

Semoga ikatan murni yang terpatri atas dasar cinta itu akan berkekalan dan berbunga mekar hingga ke akhir hayat.

KESERASIAN dan saling menyenangkan antara satu sama lain menjadi kunci dalam perhubungan Elisya dan Uzair.
– ihsan @amirnaufalphotography
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI