fbpx

Adam mahu bangkit di Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM gagal melunaskan impiannya untuk menaiki podium pada Kejuaraan CEV Moto2 di Litar Jerez malam kelmarin selepas terjatuh pada perlumbaan pertama dan kesukaran mengawal jentera pada aksi kedua.

PELUMBA negara, Adam Norrodin nyata kecewa apabila peluangnya menaiki podium Kejuaraan CEV Moto2 di Litar Jerez malam kelmarin tidak kesampaian apabila terjatuh pada perlumbaan pertama.

Pada saingan tersebut, Adam tampil positif pada sesi kelayakan apabila menempah petak keempat pada saingan itu, namun dia gagal mengawal jentera dengan baik sebelum terjatuh di selekoh keenam.

Bagaimanapun, Adam yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intach SIC Racing Team itu bangkit dan berjaya mengakhiri saingan tempat keenam pada perlumbaan kedua di Jerez.

Pelumba berusia 22 tahun tersebut yang dikenali sebagai ‘Torete’ sangat kecewa dengan keputusan itu dan bertekad untuk mencari penamat terbaik menjelang pusingan terakhir di Valencia di Litar Ricardo Tormo pada November nanti.

“Minggu yang sukar untuk saya terima kerana pada perlumbaan pertama saya cuba untuk kekal bersaing dengan dua pelumba di hadapan tetapi saya jatuh di selekoh keenam.

“Pada perlumbaan kedua saya turun dengan strategi berbeza dan lebih bersabar. Bagaimanapun, lima pusingan selepas itu saya mula berdepan kesukaran dengan jentera.

“Saya kena terima minggu ini susah saya untuk naik podium. Kecewa tetapi saya akan bekerja keras menjelang perlumbaan di Valencia nanti,” katanya.

Hasil keputusan tersebut, Adam kini menduduki tangga kelima dengan 90 mata dan pelumba Boscocuro Talent Team-Ciatti dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 245 mata.

Sementara itu, dalam saingan CEV Moto3, Syarifuddin Azman yang menjuarai saingan di Catalunya pada Jun lalu juga gagal mengulangi pencapaian terbaik sekali lagi apabila mengakhiri saingan tempat ke-12 pada perlumbaan kedua selepas terjatuh pada perlumbaan pertama.

Pada saingan kategori European Talent CUP (ETC) pula menyaksikan Sharul Ezwan Mohd Sharil menduduki tempat ke-20 perlumbaan pertama dan tempat ke-14 pada perlumbaan kedua, manakala, Muhammad Hakim Danish Ramli mengakhiri saingan di tempat ke-15 pada perlumbaan kedua.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI