fbpx
Suspek bersenjatakan tukul dan kapak memecahkan galeri yang menempatkan barangan kemas di premis itu semalam.

Pura-pura imbas MySejahtera rupanya rompak kedai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat lelaki dipercayai warga tempatan terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai emas di Jalan Metro Perdana, Kepong, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek yang memakai topeng muka dan bertopi keledar melakukan samun dengan bersenjatakan sebilah tukul dan kapak.

“Barangan kemas yang dilarikan berupa rantai leher dan rantai tangan yang nilainya dipercayai mencecah ratusan ribu ringgit,” ujarnya hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian salah seorang suspek telah berpura-pura mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Pada masa sama, tiga lagi individu menyerbu masuk ke dalam premis dan melarikan sejumlah rantai tangan dan leher dalam tempoh kurang seminit.

“Semasa kejadian terdapat tujuh pekerja wanita di dalam premis terbabit dan salah seorangnya pengsan akibat ditolak suspek,” ujarnya.

Dalam masa sama, jelas beliau, pihak polis telah mengenal pasti dua motosikal yang digunakan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR