fbpx

FAM kekal kendalikan Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghargai kesudian pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengambil alih ­pengurusan skuad bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, badan induk bola sepak tanah air itu terpaksa menolak tawaran tersebut dan akan terus mengendalikan skuad Harimau Malaya seperti biasa.

Kata beliau, FAM dan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah mencapai kata sepakat berhubung perkara itu selepas kedua-dua pihak me­ngadakan pertemuan sebelum ini.

Hamidin mengakui faham dengan kebimbangan dirasai Tunku Ismail selepas menyaksikan skuad kebangsaan tewas kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada pusi­ngan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu.

“Saya ingin maklumkan, saya telah mengadakan pertemuan dengan TMJ iaitu mantan Pre­siden FAM berhubung isu ba­ginda ingin mengambil alih pe­ngurusan pasukan kebangsaan seperti dinyatakan sebelum ini.

“Dalam pertemuan tersebut, kami mencapai kata sepakat untuk mengekalkan FAM sebagai pengendali skuad Harimau Malaya. Cukup untuk saya katakan, perkara ini sudah selesai.

“Bagaimanapun, saya faham perasaan baginda ketika itu selepas kita tewas kepada UAE dan Vietnam. Baginda juga akan te­rus berikan sokongan termasuk membekalkan pemain JDT kepada pasukan negara,” katanya pada sidang akhbar secara maya semalam.

Tambah Hamidin, pada pertemuan itu, Tunku Ismail juga memberikan beberapa panda­ngan termasuk kriteria pemilihan pemain untuk panggilan ke skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Baginda juga menekankan mengenai betapa penting pemilihan pemain termasuk perlu menilai minit permainan, selain memantau prestasi setiap daripada mereka dalam semua pasukan Liga Malaysia.

“Mungkin ada beberapa perubahan berhubung pemilihan pemain kebangsaan untuk pu­singan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, kerana saya seiring dengan pendapat yang diberikan baginda,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI