fbpx

Dua pelajar universiti mahu kerja sampingan rugi RM27,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Dua pelajar universiti di Kepala Batas di sini terpaksa menggigit jari apabila mereka kerugian lebih RM27,500 selepas dipercayai ditipu sindiket semalam.

Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu masing-masing kerugian RM21,450 dan RM6,095 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan pekerjaan secara sambilan di sebuah platform e-dagang popular.

Mereka dikatakan mula terjerat dalam penipuan sindiket itu selepas melihat iklan yang ditawarkan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pelajar terbabit dikatakan telah menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.

Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu, mangsa diberi taklimat untuk bekerja sebagai ejen pembelian online.

“Mereka telah diminta untuk melakukan tugas pembelian barangan yang ditetapkan oleh pengendali ‘group’, dengan pembayaran bagi setiap pembelian akan dibayar terus ke akaun bank sindiket.

“Pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan bayaran keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

“Pada peringkat awal, mereka menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong untuk membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450.

“Kedua-dua mereka bagaimanapun menyedari ditipu selepas tidak menerima wang keuntungan yang dijanjikan sebelum datang ke balai polis bagi membuat laporan semalam,” katanya menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Noorzainy turut menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket.

“Sehingga kini (tahun ini), sebanyak lima kes (sama) direkodkan dengan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM59,328 di daerah SPU,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI