fbpx

Mahkamah arah peguam Nana fail afidavit bukti serahan writ saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANA (kiri) kekal dengan keputusannya untuk menyaman lima individu termasuk Lan dan Syura (kanan) selepas tidak menerima sebarang permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sivil di sini mengarahkan peguam plaintif yang mewakili penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap lima defendan termasuk Lan Solo dan Syura yang disaman sebanyak RM2.5 juta atas dakwaan memfitnah.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abang Azlan, mahkamah mengarahkan demikian selepas kelima-lima defendan iaitu Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 42 masih tidak diwakili peguam selain tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan difailkan.

Peguam itu berkata tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 17 Ogos ini.

“Mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya,” kata Abang Azlan.

Terdahulu pengurusan kes tersebut telah dibuat pada Isnin lalu secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Zulqarnain Hassan.

Pada 3 Ogos lalu Kosmo! melaporkan pertelingkahan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron kini memasuki episod baharu apabila selebrti tersebut menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta.

Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil di sini, dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas Aida G.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI