fbpx
SEORANG pesara guru berusia 65 tahun, Elias Dasuki melalui pengalaman paling getir dalam hidupnya apabila dia terpaksa ditidurkan selama 31 hari oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor.

‘Badan seperti kena gerudi, dicucuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Perasaan pilu, sedih dan terharu dirasai dalam kala­ngan bekas pesakit Covid-19 yang pernah melalui detik-detik ditidurkan oleh pasukan perubatan selama berhari-hari selepas me­re­ka me­ngalami komplikasi teruk akibat jangkitan Covid-19.

Menganggap ia ibarat seper­ti mati hidup semula selepas berjaya pulih daripada jangkitan maut itu, rata-rata daripada bekas pesakit berkenaan turut mengakui pengalaman berada di unit rawatan rapi (ICU) sebagai sesuatu yang sukar dilupakan.

Antara yang paling terkesan ialah seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah di sini, Elias Dasuki, 65, yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 selepas 31 hari ditidurkan bermula 18 Mac 2020.

Menurut pesara guru itu, dia terpaksa ditidurkan selama 31 hari oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas disahkan positif Covid-19.

“Sepanjang saya dirawat di ICU, badan saya sakit-sakit se­perti digerudi, mencucuk-cucuk, kaki dan tangan saya juga terpaksa diikat pada katil.

“Bekalan oksigen selalu putus, pergerakan jantung terhenti, di paru-paru terdapat seperti garisan, hati dan buah pinggang juga menunjukan kesan sam­pingan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Parit Sulaiman, Kayu Ara Pasong di sini baru-baru ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, ketika ditidurkan, dia turut merasai dirinya seperti sudah meninggal dunia.

“Saya dapat rasakan seperti sedang dimandikan, dikapan dan dimasukkan ke dalam keranda.

“Pada waktu itu juga, saya telah bermimpi berjumpa de­ngan arwah bapa, Dasuki Abd. Jalil yang meminta supaya saya membaca 100,000 kali ayat Nabi Yunus ketika berada di dalam perut ikan Yu,” ceritanya.

ELIAS (tiga dari kiri) bergambar bersama kakitangan HSA, Johor Bahru selepas dia dibenarkan keluar dari hospital pada 30 April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Elias berkata, dia mula terkena jangkitan Covid-19 ketika melawat adiknya yang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Selepas 10 hari dirawat, adik­nya meninggal dunia sebelum dia sendiri disahkan dijangkiti dan menerima rawatan bermula 18 Mac hingga 30 April 2020.

Berkongsi pengalaman sama, seorang bekas pesakit Covid-19 di Alor Setar, Kedah turut terpaksa bertarung nyawa melepasi saat kritikal sepanjang ditidurkan di ICU, Hospital Sungai Buloh pada pertengahan Jun lalu.

Mazliana Maadam, 33, dari Muar, Johor berkata, dia tidak menyangka akan dijangkiti Co­vid-19 tahap lima ketika usia kan­dungan anak ketiganya telah memasuki enam bulan.

“Suami saya, Zakaria Abd. Majid, 35, terlebih dahulu disahkan positif pada 6 Jun lalu disusuli saya dan dua anak iaitu Mazleeza Kim Adeleea, 3, dan Mazleeza Kim Adeleena Zakaria, 6.

“Suami dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Perta­nian Malaysia Serdang (Maeps) sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, manakala saya dan dua anak ditempatkan di HSB pada 11 Jun,” katanya.

Katanya, sepanjang di HSB, dia mengalami demam, lenguh badan, hilang deria rasa, batuk teruk dan sesak nafas, manakala dua anaknya tidak menunjukkan sebarang gejala.

Menurut Mazliana, dia ditidurkan selama kira-kira lima hari dan dalam tempoh itu, bayi lelaki dalam kandungan terpaksa dikeluarkan pada 17 Jun sebelum meninggal dunia empat hari kemudian kerana dalam keadaan sangat pramatang.

“Bayi lelaki seberat 540 gram itu diberi nama Muhammad Kim Adreean dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya,” jelasnya.

KEADAAN Afrizal ketika dirawat di wad ICU HSAH, Sungai Petani.

Bagi seorang lagi bekas pesa­kit Covid-19, Afrizal Abdul Rasid, 45, dia telah ditidurkan selama empat hari di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Su­ngai Petani selepas kesihatannya me­rosot teruk pada 27 Jun lalu.

“Sepanjang empat hari ditidurkan, pelbagai bayangan muncul termasuk kenangan zaman kanak-kanak. Saya juga kerap ter­dengar laungan azan.

“Selepas tersedar, saya jadi takut kerana rasa kematian sangat hampir dan saya akan mening­galkan semua ahli keluarga.

“Apa yang merisaukan apabila ada pesakit yang ditidurkan pada hari yang sama telah disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian,” katanya yang me­ne­ri­ma rawatan selama 19 hari di hospital berkenaan.

Menurut Afrizal, dia yang be­kerja sebagai penyelia sebuah kilang di Bakar Arang, Sungai Petani mengalami demam berpanjangan dan sesak nafas sebelum dimasukkan ke HSAH pada 27 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN