fbpx

[VIDEO] ‘Allah sayang sangat dengan ibu, Dia tak akan pulangkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOMEN hiba (kanan dan kiri) ketika Shuib memberitahu hal sebenar kepada tiga anaknya.

PETALING JAYA – Hiba dan sayu. Frasa tersebut yang sesuai menggambarkan perasaan sepanjang menonton video ketika Shuib memberitahu anak-anaknya bahawa ibu mereka, Allahyarham Siti Sarah sudah tiada lagi di dunia.

Video sayu berdurasi lapan minit 30 saat itu memaparkan Shuib ketika pertama kali bertemu dengan anak-anaknya selepas pulang daripada majlis pengebumian isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak semalam.

Dalam video tersebut, Shuib dilihat cuba menenangkan dan memeluk erat tiga anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 serta Ariq Matin, 6, yang menangis teresak-esak selepas diberitahu bahawa ibu kesayangan mereka sudah pergi menghadap Ilahi.

“Betul ke apa yang tulis dalam video tu daddy?” soal Uwais ketika membaca tajuk sebuah video yang tertulis ‘anak-anak belum tahu ibu mereka sudah tiada’ kepada bapanya.

Tidak menunjukkan dirinya terlalu sedih, Shuib menjelaskan tentang situasi sebenar kepada anak-anaknya dengan nada yang cukup tenang.

“Uwais, Talita dan Matin, kita kena sembahyang doakan ibu sebab dia tak akan balik lagi. Kita tak akan jumpa ibu sebab dia dah tiada dalam dunia dan sekarang berada dalam syurga.

“Sebenarnya anak-anak daddy dah buat yang terbaik, doa dan sembahyang hari-hari cuma Allah lagi sayang serta terlalu suka dengan ibu. Ibu bukan daddy punya tapi Allah punya,” katanya memujuk tiga anaknya yang terkejut menerima berita tersebut ketika itu.

Cuba menenangkan hati tiga cahaya matanya, ahli kumpulan Sepahtu itu turut memberitahu bahawa dia akan membawa anak bongsunya, Ayash Affan yang kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kita dah minta dengan Allah SWT supaya pulangkan ibu tapi Dia sukakan ibu. Nanti daddy bawak balik Ayash sebab ibu ganti diri dia dengan adik kamu.

“Ibu ada pesan dengan daddy, dia nak awak berempat jadi anak yang soleh, solehah, pandai mengaji dan suka sedekah. Nanti kita jumpa ibu di syurga,” katanya lagi.

Dalam ruangan komen, rata-rata penonton memberitahu tidak dapat menahan air mata mereka sepanjang menonton momen hiba tersebut.

“Ya Allah tak tahan tengok kesedihan anak-anak Shuib. Terus mengalir air mata keluar sebak betul,” komen seorang pengguna YouTube.

Semalam, negara dikejutkan dengan kematian Siti Sarah Raissuddin, 37, yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di HCTM UKM pada pukul 5.13 pagi semalam.

Siti Sarah Raissuddin, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan sejak Rabu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun dan ditidurkan sebelum melahirkan Ayash secara pembedahan pada pukul 4 petang Jumaat lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI