fbpx

Gagal seludup haiwan eksotik bernilai RM67,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian anak ular yang dirampas anggota PGA dalam serbuan di pangkalan haram Bilal Dollah, Rantau Panjang semalam. FOTO IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Sekumpulan lelaki sanggup lari meninggalkan pelbagai spesis haiwan eksotik seludup bernilai RM67,600 selepas pangkalan haram Bilal Dollah di sini diserbu anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, serbuan pukul 7 malam itu dilakukan selepas anggotanya menjalankan pemantauan di kawasan pangkalan haram tersebut.

Menurutnya, semasa intipan dilakukan, PGA telah melihat kelibat sekumpulan lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang menunggah kotak-kotak di kawasan berkenaan.

“Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki berkenaan terus bertindak melarikan diri ke Thailand dengan menaiki perahu dengan meninggalkan kotak-kotak tersebut.

“Pemeriksaan di dalam kotak itu mendapati ia mengandungi pelbagai jenis haiwan eksotik iaitu 206 ekor katak, labi-labi (50 ekor), anak ular (24 ekor), burung kakak tua (tiga ekor) dan seekor iguana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Azizan, siasatan awal mendapati, kesemua haiwan itu dibawa masuk secara haram selepas mendapat permintaan tinggi di negara ini.

Ujarnya, kesemua haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI