fbpx

Awas ‘katak politik’ kembali melompat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sindrom ‘katak lompat parti’ mungkin berulang sebelum dan selepas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini.

Penganalisis politik, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, perkara itu boleh berlaku memandangkan Malaysia belum memiliki sebarang akta untuk menyekat perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa tindak tanduk mereka kini diperhatikan rakyat dan sebarang perbuatan tidak berintegriti akan menjejaskan reputasi serta kredibiliti mereka.

“Dalam tempoh itu, pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus memantau perkara ini (lompat parti).

“Ini supaya isu berkaitan salah laku dan juga pecah amanah tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Sivamurugan berkata, semua pihak wajar melakukan gencatan politik sehingga usul undi percaya terhadap Perdana Menteri itu dilaksanakan.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir turut berpandangan bahawa gejala ‘katak lompat parti’ boleh berlaku sebelum usul itu dibentangkan di Parlimen pada September ini.

Menurut beliau, SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memantau memandangkan lebih 60 wakil rakyat telah melompat parti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kalau Ahli Parlimen tiada integriti dan maruah akan mudah tersungkur dengan gejala ini,” katanya.

Kelmarin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.

Justeru, beliau memaklumkan satu undi percaya akan dibuat ke atasnya oleh Ahli Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat pada September ini. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI