fbpx

Penjual ayam positif HIV didakwa rogol remaja bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Wan Mohd. Shakir (tengah) didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur lima bulan lalu di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini. Foto ZULHANIFA SIDEK

PASIR MAS – Seorang penjual ayam yang disahkan positif Human Immunodeficiency Virus (HIV) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur dipercayai kekasihnya sehingga mengandung lima bulan lalu.

Tertuduh, Wan Mohd. Shakir Wan Abdul Hamid, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja yang berusia 15 tahun tujuh bulan dengan mengetahui bahawa ketika itu menghidap HIV.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kembara di sebuah kawasan di Tumpat pada bulan Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(i) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khuzaimi Mohd. Salleh.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak mencadangkan sebarang jaminan ekoran bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang telah mengandung lima bulan dan kini tinggal bersama keluarganya.

Mohd. Khuzaimi dalam rayuannya memohon agar jaminan diberikan kerana tertuduh merupakan seorang pesakit HIV dan khuatir akan terdedah dengan jangkitan Covid-19 sekiranya dimasukkan ke penjara sepanjang tempoh perbicaraan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan keluarganya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 17 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI