fbpx

Khabar angin cuba pecah belahkan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri. - Foto Shaikh Ahmad Razif

BERA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan khabar angin bahawa beliau akan dilantik sebagai perdana menteri interim dalam mengatasi kekalutan politik negara pada masa ini.

Beliau menyifatkan khabar angin yang berkemungkinan cuba memecahbelahkan itu tidak perlu dilayan sebaliknya tumpuan diberikan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Itu khabar angin, lagi pun saya difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada istilah interim, perdana menteri interim, kerajaan interim itu tidak ada dalam perlembagaan.

“Tindakan kita sebenarnya adalah untuk mendamaikan, bagi saya dalam keadaan hari ini tindakan paling baik adalah menyejukkan, mendamaikan keadaan bukan terlibat melaga-lagakan dan memecahbelahkan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bakul makanan kepada lima buah kampung di Masjid al-Muttaqin Kampung Charuk Puting di sini, hari ini.

Baru-baru ini beberapa portal media melaporkan Ismail Sabri dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai perdana menteri interim yang mana rundingan mengenai perkara itu dikatakan sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional.

Menurut Ismail Sabri, pada masa ini bukanlah masa sesuai untuk berlaku perpecahan kerana setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab besar bagi membantu rakyat yang sedang menghadapi situasi sukar pandemik Covid-19.

“Rakyat susah, saya bagi bakul makanan hari ini kerana (rakyat) ada masalah, kerajaan difahamkan sudah beri lebih dua juta bakul makanan kepada rakyat. Kenapa tidak fokus kepada isu rakyat dan yang paling penting Covid-19 ini selesai,”ujarnya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI