fbpx
KEPUTUSAN ujian klinikal terhadap ubat Ivermectin oleh KKM bagi merawat pesakit Covid-19 hanya akan diketahui pada September ini.

Kegilaan Ivermectin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu penggunaan pil Ivermectin yang didakwa­ sesetengah pihak sebagai satu cara untuk merawat pesakit Covid-19 semakin hangat diperkatakan walaupun belum ada sebarang keputusan mahupun dapatan kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini.

Lebih membimbangkan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan di sebalik polemik mengenai keberkesanan ubat ini dengan menjualnya secara meluas di platform online.

Ubat berkenaan yang hanya boleh diperoleh dengan per­skripsi doktor pakar veterinar itu turut dijual pada harga tidak masuk akal iaitu mencecah RM599 untuk 100 biji.

Difahamkan, sebelum isu tersebut muncul, harga sepapan mengandungi 10 biji Ivermectin hanya dijual pada harga RM8.

Tinjauan Kosmo! di beberapa buah farmasi di sekitar Lembah Klang mendapati, tiada sebarang penjualan ubatan jenis berkenaan, sebaliknya ia hanya boleh didapati di klinik-klinik haiwan.

Bagaimanapun, semakan yang dibuat di platform e-dagang amat mengejutkan apabila ubat tersebut dijual dengan bebas.

Seorang peniaga online yang dihubungi menerusi kemudahan ‘chat’ di aplikasi jual beli online turut menawarkan kemudahan penghantaran percuma kepada pelanggan yang membeli ubat tersebut pada harga RM599 untuk 100 biji.

Ubat Ivermectin di Malaysia biasanya dikhaskan untuk kegunaan merawat haiwan.

“Setakat ini, tiada sebarang maklum balas negatif yang dite­rima daripada pelanggan, malah ada yang telah membeli beberapa­ kali untuk diberikan kepada kenalan atau saudara mara yang disahkan positif Covid-19.

“Untuk penggunaan pula, kami sarankan pesakit mengambil sebiji tablet Ivermectin 12 miligram (mg) setiap hari sehingga­ simptom atau kesan akibat ­Covid-19 hilang,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pesakit Covid-19 dikenali sebagai Asan mendakwa, dia mula menggunakan ubat berkenaan sebagai rawatan alternatif selepas terbaca mengenai keberkesanannya di media sosial.

“Saya kemudiannya memulakan pencarian di platform e-dagang dan mendapati ia dijual secara meluas tanpa kawalan dengan harga yang berbeza.

“Penjual berkenaan meminta saya mengambil sebiji pil Ivermectin setiap sehari dan saya telah mengamalkannya selama dua minggu sebelum simptom dialami hilang,” jelasnya.

Asan berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila harga ubat itu melonjak tinggi selepas isu penggunaannya sebagai ubat Covid-19 mula diperkatakan.

“Waktu saya beli dahulu har­ga­nya lebih kurang dengan harga paracetamol iaitu RM4 hingga RM8 sepapan, namun kini ia naik berganda sehingga mencecah RM400 untuk 40 biji,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Klinikal Farmakologi, Toksikologi dan Rawatan Rapi Jabatan Pe­ngajian Klinikal, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan menjelaskan, trend pembelian Ivermectin secara berleluasa di platform jual beli online perlu dibendung segera.

“Ivermectin adalah sinonim dalam dunia perubatan vete­rinar sebagai ubat antiparasit dan te­lah digunakan secara meluas bagi merawat infestasi parasit seperti sengkenit, tungau, kutu dan cacing.

“Dalam kebiasaan, pemberian dos Ivermectin yang tinggi pada haiwan adalah sangat tidak diga­lakkan kerana boleh menyebabkan ketoksikan, kerintangan ubat dan kerosakan sistem saraf pusat pada haiwan,” katanya.

Soal beliau, bagaimana para peniaga berani memberi jaminan bahawa Ivermectin selamat untuk pesakit.

“Banyak persoalan tentang penggunaan Ivermectin ke atas manusia seperti jumlah dos yang diperlukan, cara pengambilan dan adakah ia benar-benar untuk manusia atau haiwan,” jelasnya.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, sehingga kini belum ada sebarang kajian yang membuktikan keberkesanan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19.

“Ivermectin kini masih di pe­ringkat kajian klinikal di 10 atau 12 hospital KKM di seluruh negara­ bagi melihat keberkesanannya melawan Covid-19 dan yang dibenarkan pula hanyalah penggunaan secara off-label bagi tujuan kajian klinikal tersebut,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN