fbpx

Dugaan berkurung pada musim buah di kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

“Sampai hati mak long tunjuk gambar durian dan rambutan pada kami yang dah lama tak balik kampung.” Itu bait perkataan yang biasa dibaca dalam mana-mana kumpulan WhatsApp keluarga atau media sosial seperti Facebook dan Instagram sejak beberapa minggu lalu.

Pelbagai ragam dan gurauan ahli keluarga di dusun menunjukkan hasil buah atau aktiviti mengait rambutan dan mengutip buah manggis dimuat naik dalam platform tersebut untuk berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga serta rakan-rakan yang rindukan suasana kampung ketika musim buah-buahan.

Sememangnya, ia sangat meruntun jiwa warga kota yang sedang berkurung sejak rentas negeri tidak dibenarkan kepada seluruh lapisan rakyat kecuali kes-kes kecemasan.

Lebih menyakitkan hati apabila menu masakan berasaskan durian seperti pulut dan serawa durian serta cucur durian atau sambal tempoyak hasil air tangan orang tua di kampung menggoda jiwa memanggil diri untuk cuba membolosi prosedur operasi standard (SOP).

Sebenarnya buah-buahan itu boleh sahaja dibeli di tepi jalan di sekitar Lembah Klang yang juga asalnya dibawa dari pelbagai daerah dan kampung di seluruh negara atau membeli durian kampung atau durian premium yang berharga beratus ringgit di platform e-dagang.

Tetapi suasana menikmati buah-buahan di kampung bersama keluarga amat berbeza.

Biarpun ia hanya sekadar durian kampung, tetapi apabila buah-buahan itu dinikmati bersama ahli keluarga yang tersayang, keenakannya seperti menikmati durian musang king atau durian premium lain yang bernilai ratusan ringgit.

Apa yang pasti, keluarga di kampung juga terus menantikan kehadiran mereka dari perantauan sementara masih berlangsung musim buah-buahan kerana tempohnya tidak begitu panjang.

Tiada apa yang boleh dilakukan kecuali berdoa agar pandemik ini segera berakhir bagi membolehkan segala aktiviti yang dirancang oleh semua rakyat dapat dilaksanakan semula dengan selamat.

Bagi peniaga buah-buahan termasuk durian, ini adalah masa terbaik untuk menambah pendapatan berbanding sebelum ini yang telah membatasi urusan harian untuk mencari rezeki bagi membiayai komitmen bulanan.

Berniaga pada musim tertentu menuntut kesabaran dan kecekalan untuk berdepan dengan isu perang harga, lambakan buah-buahan dan juga persaingan yang sengit.

Pelbagai strategi pemasaran digunakan untuk menarik minat pelanggan yang kini semakin berubah cita rasa dan selera.

Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya demi meraih rezeki yang diberkati dan jangan kerana sikap tamak dan mahu cepat untung, perihal kebajikan sesama manusia dilupakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI