fbpx

myTukar mahu perluas pasaran ke Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONG merangka pelan pengembangan bagi myTukar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju di pasaran serantau.

PETALING JAYA – Platform jual beli kenderaan terpakai digital, myTukar berhasrat me­lebarkan sayapnya ke luar negara dan mengembangkan ekosistem mobiliti serantau yang bersepadu bagi menaik taraf pengalaman pembelian pelanggan di Malaysia dan negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeffrey Ong berkata, pihaknya ingin mengukuhkan kedudukan myTukar sebagai platform pilihan pelanggan dengan mewujudkan pengalaman jual beli yang lancar.

“Kami berhasrat menyediakan ruang pembelian kereta yang menyatupadukan segala aspek penting dalam satu proses yang mudah, bermula daripada jualan sehingga ke perkhidmatan insu­rans dan pembiayaan kewangan.

“Dengan menaik taraf infrastruktur luar talian serta sistem pengurusan inventori dan logistik berpusat, kami bakal menjadikan proses pembelian kereta semudah membeli barangan harian secara online bagi pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, bagi mengukuhkan kehadirannya di pasaran serantau, myTukar berkata, pihaknya bakal melancarkan Program Pas ASEAN yang akan meningkatkan penyertaan wakil jualan kereta terpakai secara lebih meluas.

Menurutnya, menerusi platform digital dan infrastruktur luar talian myTukar, wakil jualan kereta terpakai tempatan akan dapat menjual kenderaan mereka­ di luar negara, begitu juga sebaliknya.

“Program Pas ASEAN dirancang khas untuk mengukuhkan kedudukan myTukar sebagai peneraju pasaran dalam segmen kereta terpakai perniagaan ke perniagaan di peringkat serantau.

“Pada masa yang sama, ini­siatif ini juga akan meningkatkan kualiti dan ketelusan dalam proses pembelian kereta sete­rusnya memperkasakan pelanggan dalam proses ini,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2018, myTukar telah berkembang pantas dengan memiliki lebih daripada 2,200 pengedar berdaftar dan 17 pusat pemeriksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI