fbpx

Tak sempat jumpa doktor lagi setahun, Anjang Aki dijemput Ilahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Baharuddin Omar menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam pukul 6.30 petang tadi.

PETALING JAYA – “Dia baru sahaja lepas buat pemeriksaan kesihatan Rabu (21 Julai) lalu. Doktor kata semua okey, jumpa lagi setahun.”

Demikian kata isteri bintang veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, iaitu Datin Nazariah Abu Bakar berhubung pemergian suaminya akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, sekitar pukul 6.30 petang, hari ini.

Kata Nazariah, pemergian suaminya disahkan cucunya yang juga merupakan seorang doktor kesihatan.

“Arwah baru selesai makan dan kemudiannya masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.

“Selepas itu, dia langsung tidak sedarkan diri. Cucu yang merupakan seorang doktor mengesahkan dia sudah tiada. Saya dan dua anak berada di sisinya ketika menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Nazariah, seniman yanh cukup dikenali dengan nama watak Anjang Aki itu sememangnya mempunyai sejarah penyakit pembuluh darah bengkak namun keadaannya terkawal selepas kali terakhir bertemu doktor pada Rabu.

“Sudah ajal dia dan kami sekeluarga reda dengan pemergiaannya.

“Ujian calitan Covid-19 pun ada buat dan memang dia ‘pergi’ bukan sebab Covid. Allahyarham pun ketika masih hidup dah suntik dua dos. Sekitar bulan Mei dia selesai dua dos,” katanya lagi.

Allahyarham Baharuddin, 85, meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Terkenal menerusi drama bersiri Anjang Aki pada era 1980-an, Allahyarham turut dikenali menerusi karya hebat seperti Tanah Pusaka yang diterbitkan pada tahun 1967, Perajurit Pulang (1968) dan Bangsawan (1970).

Lakonan hebatnya dalam filem Dia Ibuku pernah melayakkan dirinya menerima pencalonan dalam Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 (1981).

Ketika hayatnya masih ada, Baharuddin juga pernah dilantik sebagai Presiden Seniman Malaysia yang kedua selama tiga penggal dari tahun 1978 hingga 1984, selain pernah menjadi Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI