JALINAN cinta antara Haris dan Ayu (bukan nama sebenar) telah berputik sejak mereka sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di utara tanah air.
Selepas tamat pengajian dan memperoleh kerja tetap, mereka yang ketika itu berusia 25 tahun sepakat untuk mengikat perhubungan yang terjalin menerusi tali perkahwinan.
Hasil perkahwinan tersebut, Haris dan Ayu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Meskipun bahtera perkahwinan mereka tampak harmoni dari luarannya, namun hakikatnya ia sangat bergelora dari dalam.
Semuanya berpunca daripada sikap Ayu yang sering cemburu buta sehingga membuatkan Haris berasa kurang selesa, sekali gus menjadi punca kepada pergaduhan mereka berdua.
Menurut Haris, Ayu memang sudah dikenali sebagai seorang wanita yang cemburu buta sejak mereka menjalinkan hubungan cinta ketika sama-sama menuntut di IPT.
Ujarnya, ketika di universiti, Ayu tidak membenarkannya berkawan atau berhubung dengan wanita lain meskipun atas urusan menyiapkan tugasan.
“Saya tahu Ayu seorang yang kuat cemburu sejak dari dahulu lagi. Apabila cakap hendak berjumpa perempuan lain, dia mesti merajuk dengan saya selama seminggu.
“Ketika itu, saya anggap ia perkara normal. Mungkin Ayu cemburu dan bimbang saya jatuh cinta apabila berhubung dengan wanita lain,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Pada mulanya, Haris menjangkakan sikap cemburu buta yang ada pada Ayu akan hilang atau berkurang selepas mereka berkahwin serta dikurniakan seorang cahaya mata.
Bagaimanapun, jangkaannya itu meleset sama sekali, sebaliknya sikap cemburu buta isterinya kian menjadi-jadi sehingga mengganggu tugas harian Haris sebagai seorang ejen jualan.
Menurut Haris, sebagai seorang ejen jualan produk penjagaan wanita, dia sering berhubung dengan rakan sekerja dan pembeli yang rata-ratanya terdiri daripada golongan Hawa.
“Kebanyakan masa saya dikelilingi wanita di tempat kerja atau berjumpa pelanggan. Jadi, saya sering menerima panggilan daripada wanita untuk membeli produk.
“Ada masanya, saya mendapat panggilan daripada pelanggan wanita di rumah yang ingin bertanyakan mengenai produk. Situasi itu menghadirkan rasa cemburu Ayu,” tegasnya.
Dia memaklumkan, rasa cemburu Ayu semakin memuncak apabila Haris berbual panjang dan memberi penerangan secara terperinci kepada pelanggan wanita mengenai produk.
Ceritanya, Ayu sering menuduh Haris mempunyai hubungan cinta dengan wanita yang ingin membeli produk sehingga membawa kepada pergaduhan besar.

“Apabila tahu saya sedang berbual telefon dengan perempuan, mulalah dia (Ayu) menunjukkan reaksi tidak berpuas hati dan menuduh saya yang bukan-bukan.
“Pernah sekali, dia menuduh saya bercinta dengan seorang wanita kerana kami sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp untuk menguruskan aktiviti jual beli produk.
“Saya tidak pernah melayan wanita lain lebih daripada seorang pelanggan. Apabila dia (pelanggan) setuju untuk membeli produk, baru saya pergi hantar barang,” jelasnya.
Haris hanya mampu bersabar dengan sikat cemburu buta Ayu dan melayan sahaja kerenahnya selagi tidak membawa sebarang masalah kepada rumah tangga dan pekerjaannya.
Bagaimanapun, kesabaran Haris sampai ke kemuncak apabila isterinya telah membuat cerita yang dia mempunyai hubungan cinta dengan wanita lain menerusi media sosial.
Segalanya berpunca daripada tindakan Haris yang tidak menjawab panggilan Ayu kerana berada dalam satu mesyuarat bersama pengurusnya.
Kebetulan ketika itu, cerita Haris, dia sedang memberi taklimat kepada pengurusnya mengenai hasil jualan sehingga tidak mempunyai masa untuk menjawab panggilan atau membalas WhatsApp.
“Situasi ini membuatkan Ayu berang sehingga menulis semua perkara buruk mengenai saya.
“Tergamak dia menuduh saya tidak menjawab panggilannya kerana sedang sibuk melayan wanita lain.
“Selepas saya baca status itu dalam media sosial, saya berasa sangat marah. Ayu tidak sepatutnya membuat fitnah sehingga mengundang persepsi negatif daripada keluarga dan kenalan,” katanya.
Dia memaklumkan, amarah yang disimpan terlalu lama telah membuatkan Haris mengambil keputusan melafazkan cerai terhadap Ayu kerana sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta isterinya.
Ujar Haris, dia tidak boleh lagi meneruskan hidup dengan seorang wanita yang terlalu kuat cemburu dan tidak pernah percaya kepada kejujuran serta kesetiaan suaminya.
“Semasa proses perbicaraan di mahkahmah syariah, ternyata hakim juga ‘menyelar’ tindakan Ayu mengaibkan dirinya menerusi media sosial merupakan satu kesalahan.
“Hakim memberitahu, seorang isteri tidak seharusnya memburukkan seorang suami kepada orang lain.
“Sebaliknya, setiap permasalahan yang timbul harus diselesaikan secara bersama,” ujarnya yang kini masih menduda.














