fbpx
Gambar hiasan

Waspada pakej badal haji palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tiada peraturan khusus atau badan berkuasa yang memantau berkenaan badal haji menjadi antara punca berlaku penipuan melibatkan tawaran pakej badal haji.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ustaz Mohd. Meeftah Anuar berkata, permintaan terhadap pakej badal haji dilihat meningkat berdasarkan banyak pihak seperti agensi dan orang persendirian menawarkan perkhidmatan tersebut sekali gus dikhuatiri mempunyai unsur penipuan.

“Ramai yang tidak menyedari menjadi mangsa penipuan kerana bersikap tidak cakna dan mudah percaya terhadap pihak yang menawarkan pakej badal haji.

“Tambahan pula, pada akhir musim haji waris biasanya akan menerima sijil dan hadiah sebagai bukti ibadah itu telah dilaksanakan,” katanya menerusi Taklimat Kesedaran Penipuan Pakej Badal Haji dan Umrah secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata, individu yang menggunakan perkhidmatan badal haji perlu mengetahui kadar harga pakej semasa dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kos yang terlalu rendah.

Katanya, mereka juga perlu meminta bukti pembayaran seperti resit, tidak berurus niaga secara tunai, nama pembadal, akad wakil selain butiran lengkap sepert lokasi, alamat dan nombor telefon syarikat berkenaan.

Mohd. Meeftah turut mengingatkan mereka yang menjadi mangsa penipuan tidak bertindak sendiri dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

“Kumpul semua bukti berkenaan pembelian pakej seperti resit bayaran dan maklumat jemaah terlibat dan buat laporan polis ke atas individu atau syarikat yang melakukan penipuan.

“Mangsa juga boleh membuat aduan ke Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di talian 03-8000 8000,” jelasnya.

Terdahulu menerusi taklimat tersebut, beliau memperincikan tip mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan ejen badal haji palsu dan modus operandi serta ciri-ciri pakej badal haji palsu.

Antaranya tawaran harga pakej yang terlalu murah atau percuma kepada mereka yang dapat menarik pembeli lain selain mempergunakan individu atau tokoh popular dan berpengaruh. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR