fbpx

150,000 orang berisiko hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Industri fesyen, tekstil dan pakaian mencatat kerugian sebanyak RM163 juta sehari ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kira-kira 150,000 orang berisiko hilang kerja apabila lebih daripada 30 peratus peruncit dalam industri tekstil, fesyen dan pakaian mungkin gulung tikar sebelum Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke Fasa 3 akibat masalah aliran tunai dan masa depan tidak menentu, menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Human berkata, rantaian bekalan dalam industri ­tekstil, fesyen dan pakaian di negara menggajikan kira-kira 500,000 pekerja.

Menurut beliau, laporan Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) memaklumkan bahawa industri fesyen, tekstil dan pakaian mencatat kerugian sebanyak RM163 juta sehari.

“Kami sangat prihatin dengan nasib pemain dalam industri tersebut.

“Lebih-lebih lagi apabila empat kilang tekstil/pakaian multinasional terkenal milik asing telah menghentikan operasi di negara ini pada tahun lalu dan memberhentikan sekitar 6,000 orang pekerja mereka.

“Keadaan ini telah mengakibatkan reaksi berantai yang memberi impak buruk kepada banyak pengeluar perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam rantai bekalan yang mengecilkan atau menutup terus operasi, seterusnya menyebabkan sekitar 15,000 lagi hilang kerja,” katanya dalam satu ­kenyataan.

Menurut Syed Hussain, perniagaan fesyen, tekstil dan pakaian menyumbang RM27 bilion nilai eksport pada tahun 2019 sebelum tahun 2020 menyaksikan jumlah tersebut merosot kepada RM21 bilion, manakala sebanyak 15 peratus syarikat berhenti beroperasi.

Tambah beliau, meskipun sektor ini akan dibenarkan kembali beroperasi pada PPN Fasa 3, peralihan ke fasa berkenaan mungkin memerlukan tempoh lebih lama berbanding jangkaan berdasarkan situasi sekarang.

“Kami menyeru agar PPN dipercepatkan kepada Fasa 3 dan 4, namun pada masa sama, majikan serta rakyat perlu mengambil perhatian lebih dan mematuhi piawaian ketat melibatkan kesihatan, keselamatan, kebersihan dan khususnya kualiti udara.

“Selain itu, majikan juga perlu memperlihatkan kebertanggungjawaban yang serius dengan menyediakan persekita­ran tempat kerja yang selamat, sihat dan bersih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI