fbpx

AADK membenarkan lawatan penghuni pusat pemulihan sempena Hari Natal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puspen.

PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi kebenaran khas kepada ahli keluarga dan penjaga untuk sesi melawat peserta Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara bersempena sambutan Hari Natal tahun ini.

AADK dalam satu kenyataan berkata, sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala negeri-negeri yang belum mencapai fasa itu hanya dibenarkan membuat pertemuan secara online.

“Kebenaran bersemuka itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan termasuk hanya pelawat yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan bagi tempoh lima hari bermula 25 hingga 29 Disember tahun ini.

“Setiap ahli keluarga dan penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan perkhidmatan AADK sekali gus mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut AADK, permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada pegawai pemulihan terlibat.

“Lawatan secara walk-in adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my.

“Sesi lawatan keluarga itu diharap memberi ruang dan peluang kepada keluarga serta penjaga untuk bertemu mesra sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pemulihan peserta yang berada dalam institusi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI