fbpx

Saringan kendiri Covid-19 guna sampel air liur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan masyarakat dunia secara umumnya hidup dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat bergerak bebas termasuk rakyat di negara ini.

Bagi mengesan sama ada seseorang itu dijangkiti wabak berkenaan, mereka perlu hadir ke fasiliti kesihatan untuk membuat saringan.

Ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) dan Real-Time ReverseTranscription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) akan dilakukan bagi mengesan sama ada seseorang itu positif atau sebaliknya.

Kedua-dua ujian ini menggunakan kaedah calitan melalui hidung atau tekak yang kadang-kadang agak merimaskan.

Kini dengan kemajuan teknologi, ujian saringan mengesan Covid-19 boleh dilakukan sendiri oleh individu apabila MeDKAD Sdn. Bhd. (MeDKAD) melancarkan produk kit ujian kendiri iaitu Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test.

Kit ujian itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Ia merupakan produk buatan Malaysia pertama daripada jenisnya dan telahpun diluluskan untuk penjualan di negara ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kit ujian itu menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen calitan air liur dan bahagian dinding dalam hidung.

Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan dan ujian kendiri di rumah.

Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak berkata, Salixium mengguna pakai teknologi imunokromatografi untuk mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen calitan air liur dan hidung.

Menurutnya, ujian mudah ini mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk keseluruhan proses.

Katanya, hasil ujian dilihat daripada kawasan garis ujian yang mengesahkan kehadiran antigen.

“Apabila spesimen yang mengandungi antigen SARS-CoV-2 ditambahkan kepada pad sampel, ia bertindak balas terhadap conjugate (Covid-19 antibodi-gold conjugate) untuk membentuk kompleks.

“Ia bergerak di sepanjang membran nitroselulosa atas kapilari dan melekat pada Covid-19 antibodi yang ditetapkan di kawasan garis ujian.

“Kehadiran atau ketidakhadiran antigen SARS-CoV-2 ditentukan dengan kemunculan garis merah jambu di kawasan tersebut.

“Sekiranya spesimen tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul dan ini menandakan bahawa ujian adalah negatif. Untuk berfungsi sebagai kawalan prosedur, jalur warna akan muncul di kawasan kawalan produk tanpa mengira kehadiran atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam sampel,” jelasnya.

KINI individu boleh memilih untuk melakukan calitan RT-PCR atau menggunakan kit ujian kendiri untuk mengetahui dijangkiti wabak Covid-19 atau tidak.

Tambahnya, sebanyak 242 sampel calitan air liur dan hidung diuji dengan Salixium dan hasil kajian dibandingkan dengan spesimen menggunakan ujian RT-PCR.

Berdasarkan kepada perbandingan tersebut, hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus dan ukuran spesifikasi adalah 100 peratus.

Ini adalah hasil yang amat mengagumkan bagi kit ujian kendiri.

Kit ujian ini telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Kajian juga telah dijalankan untuk menilai tahap pemahaman individu untuk menjalankan ujian menggunakan kit ujian kendiri di rumah.

Hasil kajian responden menunjukkan, tahap pemahaman adalah baik dan mereka juga bersetuju bahawa arahan penggunaan adalah jelas dan mudah difahami.

Dalam hal ini, calitan air liur dan hidung untuk sampel calitan boleh diambil dengan mudah dan interpretasi hasil ujian adalah jelas.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob menjelaskan, pihaknya mempunyai saintis dan pakar perubatan yang berkebolehan dan boleh bekerjasama dengan institusi kajian sama ada dari dalam dan luar negara bagi memastikan keberkesanan produk.

“Selain Malaysia, kami merancang untuk menembusi pasaran negaranegara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah.

“Salixium juga telah digunakan dengan meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu, terutamanya di Dubai,” jelasnya.

Kit ujian Salaxium juga telah memasuki pasaran Malaysia sejak 19 Julai lalu.

Ezuan menegaskan, menjadi objektif utama pihaknya untuk memastikan agar kit ujian kendiri ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia yang efektif dari segi kos dan dipercayai untuk mendapatkan hasil ujian pantas tentang jangkitan virus SARS-CoV-2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI