PETALING JAYA – Seorang lelaki tabah menjaga isterinya yang bukan sahaja terlantar dan hilang penglihatan, malah wanita itu menganggapnya sebagai kawan sedangkan mereka sudah bernikah sejak lapan tahun lalu.
Asdina Arffin Suwadi, 34, berkata, isterinya, Noor Syamimi Rohim, 35, kini mengalami short term memory (memori jangka pendek) selepas otaknya dijangkiti kuman pada 2022 dan hanya mengingati kejadian sebelum tahun 2018.
Katanya, walaupun kesihatan isterinya semakin baik, dia terpaksa mengingatkan wanita itu setiap hari bahawa mereka sudah berkahwin.
“Isteri masih tidak ingat perkahwinan kami. Dia boleh panggil saya ‘shuben’ (suami) sebab saya ajar dia dari awal selepas dia sedar dulu.
“Jadi saya kena ajar dia setiap hari. Dia tahu kami suami isteri sekarang sebab tinggal serumah tetapi tarikh dan hari nikah tak ingat,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Asdina, antara perkara yang diingati isterinya adalah ketika mereka bertemu di kafe yang pernah diusahakannya sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada 2018.
Tambahnya, ingatan isterinya bercampur-campur seperti bercerita mengenai rumah papan ibunya sedangnya ia sudah dinaik taraf kepada batu.
Dia juga cam suara dan nama adik beradik serta kawan-kawan yang datang. Semuanya itu sebelum kami berkahwin,” katanya.
Mengimbau semula kejadian itu, Asdina berkata, segalanya berubah ketika dia mengejutkan isterinya sebelum wanita itu memandangnya pelik pada suatu pagi sebelum Hari Raya Aidiladha.
“Dia tanya kau ni siapa? Kenapa kau ada rumah aku? Saya ingatkan dia ajak bergurau rupanya betul. Lima hari kemudian, dia langsung dah tak ingat. Ketika itu dia lemah dan kurang makan minum,” katanya.
Menurut Asnida, ketika membawa isterinya balik kampung di Kedah, wanita itu hanya senyap dan ketika berhenti di Tapah, dia tiba-tiba minta maaf dan redanya.
“Bila sampai kampung, dia sudah lembik sebelum tiba-tiba menjerit keesokan harinya dan saya terkejut apabila matanya sebelah kanan sudah termasuk,” katanya.
Tambahnya, isterinya kemudian dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dan ujian darah mendapati isterinya dijangkiti kuman.
Katanya, Nor Syamimi kemudian menjalani dua kali pembedahan, namun doktor tidak memberi sebarang jaminan.
“Sekarang ini nampak ingatan Syamimi lebih kepada peristiwa lama, bukan baharu. Dia ingat umur dan tahun sebab hari-hari saya sebut,” katanya.
Sementara itu, Asdina mengakui dia turut berdepan kesihatan mental iaitu anxiety dan depression ketika di awal Noor Syamimi disahkan sakit
sehingga dia perlu berjumpa doktor psikiatri dan mengambil ubat selama enam bulan.
“Saya rasa down, bila tengok dia tidur, kita ada masalah tapi tak dapat nak cerita. Dia cakap dengan kita, ‘shuben kenapa I tak nampak, bila boleh jalan balik?’. Benda itu sangat susah sebenarnya. Kalau kita di tempat dia, mesti harapkan sesuatu, tiba-tiba tak ada jawapan.
“Dia harapkan benda itu setiap hari dan kita beri harapan kepada dia. Sebenarnya ada hari dan masa saya down, tapi saya cuba kawal balik untuk bangkit,” katanya.














