fbpx
CAPRICE memaklumkan pembatalan IG LIve pendedahannya malam ekoran terdapat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Kebenaran akan terbongkar sendiri, Caprice batalkan IG Live

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji, namun hasrat penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan, Caprice untuk mengotakan janjinya dan muncul dalam Instagram (IG) Live, pukul 10 malam ini bagi menjernihkan keadaan selepas mencetuskan kontroversi membabitkan Ebit Lew serta misi ke Gaza, Palestin nampaknya tidak kesampaian.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 32, menerusi InstaStorynya sebentar tadi menjelaskan, sesi siaran langsung yang dijanjikan sejak beberapa hari lalu terpaksa dibatalkan. Menurut Caprice terdapat laporan polis  telah dibuat berhubung perancangannya.

“Minta maaf  guys, ada orang yang sudah buat laporan polis dan Caprice tak dapat buat Live (siaran langsung) pukul 10 malam ini. Insya-Allah the truth will be revealed by itself (kebenaran akan terbongkar dengan sendiri),” tulisnya dalam satu InstaStory berserta satu kenyataan media Bukit Aman berhubung penularan kisah Ebit dan dirinya dalam media sosial.

Caprica dalam hantaran berlainan mengakui sudah penat dengan situasi yang dilalui. Biarpun sudah mengakui dan memohon maaf atas segala kesilapan, dia tetap berasa kecewa memandangkan masih ada pihak menggunakan kuasa untuk menyembunyikan kesalahan tertentu. Situasi yang disifatkan kali kedua tersebut cukup memenatkan.

“Saya sudah cukup penat dan serah semua kepada Allah. Saya pilih untuk melupakan semua ini untuk kebaikan. Saya belum benar-benar pulih daripada pengalaman ini tetapi insya-Allah, saya akan menemui ruang untuk memperbetulkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Caprice menerusi beberapa hantaran InstaStorynya hari ini mengakui kesilapan disebabkan terlalu mengikut perasaan, sekali gus mahu menutup buku atas segala yang berlaku.

“Saya berharap dapat tutup buku dan jalan terus ke depan. Saya bersalah sebab terlalu mengikut emosi dan marah.

“Cara saya tetap salah. Tidak mengapa, Islam mengajar kita untuk minta maaf jika melakukan kesilapan, maafkan orang.

“Jumpa anda di IG Live, malam ini,” tulisnya menerusi Instagramnya.

Caprice turut mengulang siar tangkap layar beberapa permintaan maaf daripada netizen, terutama selepas seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau Nadir Al-Nuri membuat penjelasan berhubung isu berkenaan.

Malah Caprice menegaskan sudah memaafkan semua orang yang pernah mengecamnya selain meminta maaf kerana tidak mampu membalas semua komen.

“Alamak, banyak sangat menghantar mesej langsung minta maaf secara tiba-tiba. Dengan hantaran ini, terus-terang, saya sudah memaafkan semua yang caci maki saya.

“Alhamdulillah, saya banyak belajar mengenai kesabaran, perjuangan dan Palestin sejak kisah saya menjadi tular.

“Saya perlu tidur sekarang. Maaf, saya tidak dapat membalas semua mesej langsung, tetapi saya tetap membaca kesemuanya.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan dan sangat bersyukur atas perjalanan ini. Saya tidak akan berhenti berjuang,” tulisnya yang ingin keadaan kembali tenang selepas penjelasannya malam ini.

Terdahulu, penyanyi yang masih berada di Mesir itu memaklumkan mahu membuat pendedahan mengenai kisah di sebalik kontroversi tercetus membabitkan misi bantuan ke Gaza itu pada pukul 10 malam ini.

Namun poster berkaitan pendedahan serta makluman di IG Live bersama dua individu misteri sudah dipadamkan.

Terdahulu, kemelut didakwa berpunca daripada teguran penduduk Gaza yang diluahkan menerusi media sosial terutama mengenai cara pasukan  Ebit Lew menghulur bantuan termasuk perkongsian gambar memberi hadiah kepada kanak-kanak Palestin.

Perkongsian Caprice nyata mengundang kecaman apabila dikatakan sengaja mengheret nama dermawan terbabit semata-mata disebabkan tidak dapat memasuki Gaza.

Bagaimanapun, awal minggu ini dia tampil pula membuat permohonan maaf kepada pemimpin negara dan seluruh rakyat Malaysia dengan mengakui kemelut itu tiada kaitan dengan pihak lain.

Isu Caprice dan Ebit terus meraih perhatian ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menasihatkan mereka supaya berdamai.

Sebelum ini, Caprice berangkat ke Mesir bagi menyertai misi kemanusiaan bersama Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Namun usahawan yang turut membangunkan aplikasi Mengaji.com dan Rajin.com memaklumkan akan meneruskan misi jihad seorang diri apabila rombongan HM4P pulang ke tanah air. – K! ONLINE