fbpx
MPM akan beralih pada urusan kaunter digital sepenuhnya mulai April tahun depan. - Gambar hiasan

MPM beralih pada kaunter digital tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Semua urusan termasuk pelesenan, pembayaran kompaun dan cukai taksiran di kaunter Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya mulai April tahun depan.

Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md. Salleh, berkata ia sebagai usaha memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan dengan MPM hanya menerusi telefon bimbit tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pelaksanaan kaedah ini dilakukan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama dengan memperkenal aplikasi portal MyManjung mulai awal bulan ini dan mulai hari ini, pengguna android boleh memuat naik aplikasi itu ke dalam telefon bimbit masing-masing.

“Bagi pengguna iphone pula, ia dijangka boleh dimuat naik dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi bergantung kepads kelulusan pihak berkenaan, MPM secara teknikalnya sudah bersedia,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar secara dalam talian selepas majlis pelancaran MyManjung yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Suadi Abdul Rahim, secara dalam talian hari ini.

Pembangunan MyManjung adalah inisiatif MPM yang dianugerahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik Malaysia tahun lalu, bagi mengubah imej PBT dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat supaya relevan, mudah dan bergerak seiring dengan era digital masa kini.

Mulai tahun ini juga MPM sudah tidak lagi menghantar penyata cukai taksiran kepada penduduk dan kini mereka boleh menyemak sepenuhnya akaun masing-masing dalam MyManjung.

Sejak dilancarkan awal bulan ini sehingga hari ini, kira-kira 1,200 orang sudah mendaftar dalam MyManjung dan berharap ia terus bertambah agar tiada lagi urusan secara fizikal di kaunter MPM pada masa depan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR