fbpx

Jangan berlagak tidak ada taring – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZURAIDA (kanan) meninjau proses pemberian vaksin kepada seorang penduduk Orang Asli di Kampung Serengkam di Maran hari ini.

MARAN – Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menutup mana-mana kilang atau premis perniagaan yang didapati gagal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mencegah penularan pandemik Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tidak timbul isu negeri tidak boleh menutup kilang dalam membendung pandemik Covid-19 memandangkan kuasa telah diberikan oleh kerajaan pusat kepada negeri dan perkara ini pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Jadi tidak ada isu yang mengatakan dia (negeri) tidak boleh tutup, hanya kerajaan pusat sahaja yang boleh, itu salah, mungkin mereka kurang baca, tidak cakna atau pun sekolah tidak habis.

“Sekiranya ada kekurangan dia (negeri) boleh tulis kepada pusat dan kerajaan pusat akan menyokong mereka mengambil tindakan, jadi janganlah berlagak seperti tidak ada taring,”katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Program Outreach Mobilasi Vaksin Komuniti di Dewan Orang Ramai Kampung Serengkam di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Shaharudin Jali.

Hari ini Kosmo! melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, PBT di Selangor tidak mempunyai kuasa dalam penutupan kilang bagi membendung penularan Covid-19 sebaliknya kuasa itu masih di bawah Kerajaan Persekutuan.

Sze Han berkata, Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.

Menurut Zuraida, pada 29 Jun lalu kerajaan pusat telah menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar SOP dibawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Selain itu katanya, PBT mempunyai kuasa di bawah Akta 171 yang mana PBT boleh menutup kilang selaras dengan akta dan kuasa diperuntukkan bagi melindungi dan memastikan kesihatan awam serta mengambil langkah yang perlu dan munasabah bagi mencegah berlakuknya penyakit berjangkit.

“Jadi tidak ada isu sebenarnya, dia (negeri) boleh gunakan Akta 342 dengan sokongan Akta 171 yang mana mereka ada kuasa untuk menutup dan mengambil tindakan mahkamah.

“Saya ingat pada 2019 operasi kilang plastik di Selangor yang mana, Majlis Perbandaran Kuala Langat menutup kilang dan mengambil tindakan mahkamah serta saman polis,”ujarnya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI