fbpx

Wardina tak terkilan sebab pernah bantu Benjy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARDINA menulis tentang Benjy menerusi Instagramnya.

PETALING JAYA – Pelakon dan juga bekas pengacara popular, Wardina Safiyyah mendedahkan pernah berhubung dan menghulurkan bantuan kepada Allahyarham Benjy semasa hayatnya.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 42, memberitahu, ketika itu Benjy benar-benar terdesak untuk meminjam wang dengannya bagi membayar bil hospital di Indonesia.

Mulanya, Wardina berasa sedikit was-was untuk memenuhi permintaan Benjy kerana bimbang duit tersebut digunakan untuk membeli dadah.

“Memang waktu dia hubungi saya untuk meminjam wang, timbul sedikit rasa was-was. Takut dia beli dadah,” tulis Wardina.

Bagaimanapun, selepas Benjy menunjukkan bil hospital, Wardina akhirnya percaya dan membantunya.

“Benjy tunjuk bil hospital sebab hospital di sana (Indonesia) tidak membayar untuk tahanan bukan warganegara,” katanya.

Ujar Wardina lagi, jumlah wang yang dipinjamkan tidaklah banyak sebenarnya, namun Benjy terpaksa meminta bantuan kerana dia akan dipukul oleh tahanan lain kerana telah meminjam wang dengan mereka.

“Benjy terpaksa meminjam duit tahanan lain dan kalau dia tidak membayarnya mengikut ketetapan masa, dia akan dipukul.

“Benjy sangat terdesak. Bukan mudah sebenarnya untuk mengemis (meminjam wang) dengan orang,” ujar Wardina.

Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi filem Lagi-Lagi Senario itu mengakui, tidaklah terlalu berasa terkilan dengan pemergian Benjy kerana ketika hayatnya, dia sempat membantu pelakon itu.

“Benjy ada mengucapkan terima kasih pada saya kerana membantu dan tidak sisihkannya seperti orang lain. Saya cuma sedih sebab dia meninggal dunia di luar negara sendirian tanpa keluarga di sisi. Moga Benjy tenang di sana,” katanya.

Menerusi hantaran itu juga, Wardina yang kini tinggal di Australia turut berkongsi luahan rasa yang ditulis Benjy ketika dia berada di dalam penjara dan menyifatkan tulisan pelakon itu sungguh menyentuh hati.

“Luahan rasa Benjy dalam penjara. Dia menulisnya dengan begitu baik. Penggunaan bahasa Inggerisnya cemerlang. Sebab itulah saya memilih untuk kekal mengingatinya.

“Saya kenal Benjy mula-mula masa berlakon bersama dalam telefilem Kepulangan arahan Subaimi Baba. Innalillahiwainnailaihirajiun,” ujarnya.

Semalam, industri hiburan dikejutkan dengan pemergian Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 42, yang meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia akibat penyakit asma. Jenazahnya selamat dikebumikan di Pemakaman Waqaf Pasar 4, Klambir Lima, Kampung Medan, Indonesia sekitar pukul 11 pagi tadi.

Pada 2017 lalu, anak sulung seniwati Azean Irdawaty itu dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI