fbpx

Reunion Spider bertukar tribut buat Tony Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMERGIAN Tony Iskandar pada 30 Jun lalu tidak menghalang hasrat vokalis kumpulan itu meneruskan agenda tribut terhadap bekas pemain bass kumpulan Spider tersebut.

SEPATUTNYA September ini bakal menjadi tarikh keramat sambutan ulang tahun ke-25 kumpulan Spider yang dijangka menghimpunkan semua tunjang kumpulan itu termasuk Tony Iskandar.

Biarpun sudah meninggalkan rakan seperjuangannya sejak sembilan tahun lalu, jasa dan pengorbanan pemain bass itu tidak mungkin dilupakan.

Akui Tam, perancangan tersebut muncul ketika semua anggota Spider berada di studio Luncai Emas serentak tanpa sengaja, sekali gus berjumpa Tony yang sememangnya tinggal di tingkat bawah bangunan berkenaan.

TAM bersama dua orang anggota asal Spider, Nafie (kanan) dan Aie (kiri).

“Beberapa bulan lalu kami ada datang studio sebab masing-masing ada perkara nak diselesaikan selepas beberapa sektor dibuka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tak janji pun tetapi bila sudah lama tak jumpa macam-macam cerita keluar terutama berkaitan jubli perak Spider. Jika keadaan reda memang ada rancangan nak buat persembahan khas.

“Sekadar perancangan sebab kami tahu situasi pandemik ini bukan main-main, namun daripada perbualan santai itu Tony turut teruja walaupun dia cakap bagi saja dia main dram.

“Tony adalah sebahagian daripada Spider, sekali gus kami nak dia turut serta. Cuma takdir Allah melebihi segala-galanya, kami kehilangan Tony sebelum agenda itu dapat direalisasikan. Kami reda,” cerita vokalis Spider itu sedikit sebak.

TAM ada bertemu Tony dua hari sebelum pemergian sahabat baiknya itu pada 30 Jun lalu.

Mengenangkan pemergian Tony Iskandar Alberto menghembuskan nafas terakhir di biliknya di Studio Luncai Emas, Sungai Buloh pada 30 Jun lalu, Tam atau Rustam Mustafah semakin sebak.

Katanya, jika tiada aral, dia bersama rakan-rakan Spider yang lain tetap akan meneruskan pelan reunion, namun mungkin dengan cara berbeza.

“Kita tengok saja nanti perkembangan perancangan yang sudah kami bincangkan bersama Allahyarham. Apa pun agenda itu bakal menjadi persembahan ‘tribute’ khusus untuknya.

“Cara mana dilakukan sama ada secara virtual atau kaedah lain, semua masih dalam belum difikirkan. Buat masa ini kami semua masih macam tak percaya Tony dah pergi. Allah sayangkan dia,” tambah vokalis berusia 48 tahun itu.

Sebagai kawan yang rapat dengan Tony sejak zaman bujang di Johor Bahru lagi, Tam mengenali sahabatnya itu luar dan dalam, malah sudah seperti adik beradik.

Katanya, dia puas dapat bersama-sama dan berbakti kepada Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis kronik sejak bertahun-tahun lalu.

“Ramai tak tahu Allahyarham mengalami sakit pada bahagian kaki akibat kencing manis sejak dulu. Keputusan keluar Spider juga diambil kerana penyakitnya.

“Dia bertahan tetapi kebelakangan ini semangatnya semakin menurun. Ada juga perkara diluahkan, cuma adakalanya saya sengaja alih topik supaya dia tidak terus tenggelam dalam emosi.

“Jadi saya dapat rasa dia menanggung sesuatu yang mungkin kali ini tidak terluah.

“Kali terakhir saya jumpa Tony dua hari sebelum pemergiannya kerana menghantar makanan masakan isteri kepadanya. Itu rutin disebabkan keadaan kakinya yang semakin sakit. Kami sempat solat maghrib berjemaah,” katanya.

TONY yang sukar bergerak kerana mengalami masalah kaki sempat meminta maaf daripada Tam beberapa sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Suara Tam sedikit bergetar di hujung talian menceritakan apabila beberapa hari sebelumnya arwah secara tiba-tiba meminta maaf jika ada kesalahannya sepanjang persahabatan mereka.

“Sudah jadi rutin saya dan isteri hantar makanan kepadanya sebab rumah kami sangat dekat dan dalam keadaannya yang sakit kaki biarlah kami tolong dia.

“Sebenarnya Tony tinggal di situ sebab sebelum ini semua anggota Spider mempunyai bilik masing-masing di sana. Jadi Tony tinggal semula di biliknya selepas kembali semula ke sini.

“Tempat itu tiada dapur, dia pula sukar bergerak disebabkan masalah kakinya, jadi kami hantarkan makanan.

“Beberapa hari sebelum itu, dia tiba-tiba minta maaf kata dah nak pergi,” kongsi Tam.

TAM mengakui hubungannya dengan Allahyarham Tony Iskandar sangat dekat bahkan seperti adik- beradik.

Tambah Tam, tambah memilukan apabila beberapa hari lalu, tanggal 7 Julai yang sepatutnya menjadi tarikh genapnya 50 tahun usia Tony, namun sahabatnya itu telah tiada.

Sempena ulang tahun rakan baiknya itu, sebuah lagu berjudul Hanya Tersenyum dicipta khas yang menghimpunkan 1001 kenangan manis sepanjang persahabatan mereka.

“Biarlah kita semua kenang arwah dalam lagu yang membuatkan kita tersenyum mengingatinya. Lagu ini tidak mengambil masa lama untuk disiapkan, melodi dan lirik ringkas.

“Saya mahu orang lain yang mendengar boleh mendoakan kesejahteraan arwah, bukan bersedih,” kongsi Tam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI