fbpx

Benjy dekati agama, khatam al-quran Februari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENJY disahkan sempat khatam al-Quran pada Februari lalu.

PETALING JAYA – Pelakon, Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang menghembuskan nafas terakhir pagi semalam difahamkam sudah khatam al-Quran pada 17 Februari lalu.

Menerusi sepucuk surat daripada panitia khatam al-Quran Masjid At Taubah Lapas Kelas 1 Medan yang tular, nama Allahyarham antara tujuh peserta yang disenaraikan dalam majlis berkenaan.

Perkara tersebut turut disahkan rakan seperjuangannya, Ellie Suriaty yang menyatakan Benjy memaklumkan mengenai perkembangannya pada perbualan terakhir mereka menerusi telefon minggu lalu.

“Memang Benjy akui sudah melalui banyak perubahan sepanjang hampir empat tahun berada di sana apabila memperuntukan masa yang ada dengan mendekatkan diri kepada Allah.

“Arwah beritahu dia sudah khatam al-Quran, bersolat dan berpuasa. Alhamdulillah,” kata aktres serba boleh yang sememangnya menjadi kawan rapat ibu arwah yang juga seniwati dihormati, Allahyarham Azean Irdawaty.

Terdahulu, Benjy meninggal dunia akibat penyakit asma kronik yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu di Royal Prima Hospital, Medan, Indonesia, jam 11 pagi semalam.

Semasa menghembuskan nafas terakhir, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu masih menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta atas kesalahan memiliki dadah sejak 2017.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Mohd Hafiz Mohd. Nafiah yang mengunjungi Benjy buat kali kedua pada April 2019 berkata Allahyarham meminta mendoakan dirinya.

Kata Hafiz, walaupun kesihatannya terjejas dan tampak lebih kurus berbanding kunjungan pertama Seniman sekitar Disember 2018, Benjy cukup bersemangat melihat kedatangan mereka.

“Kali kedua saya datang untuk menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Prihatin Seniman untuk digunakan membeli ubat serta menjalani rawatan doktor memandangkan kos untuk orang luar agak tinggi.

“Dalam tempoh dua jam kami dapat berbual panjang selain membawanya bertemu doktor di dalam tempat sama kerana Benjy mengadu keadaan kesihatannya masih tidak menentu.

“Sebelum pulang, kami menyerahkan bungkusan untuk menyambut Ramadan dan Syawal berupa berupa baju Melayu, songkok, pakaian harian dan makanan kering.

“Menitis air matanya mengenang kebaikan insan-insan yang sudi memberi sumbangan kepadanya. Benjy bertanya bila kami dapat datang lagi. Dia minta doakan dia sihat dan diberi kekuatan mental,” katanya.

Mengenai pengebumian, katanya beberapa rakan seperjuangan Allahyarham sudah menghubungi Seniman untuk menbiayai kos pengurusan jenazah termasuk pengebumian.

“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan. Kami juga sudah berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia dan Penjara Tanjung Gusta. Bagaimanapun, kos perlu ditanggung oleh waris.

“Setakat ini ramai yang menghubungi Seniman mahu membantu. Jenazah yang disahkan bebas Covid-19 dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta sebelum Zuhur waktu tempatan hari ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI