fbpx

Ah long guna aplikasi ‘Mloan’ akses data peminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Kamarudin

KUALA LUMPUR – Hanya muat turun aplikasi dikenali ‘Mloan’ yang diberikan ahli sindiket melalui telefon bimbit dan pinjaman lulus kurang 24 jam.

Itulah taktik terbaru yang digunakan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long bagi memberi pinjaman kepada orang ramai yang terdesak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya sudah menerima tiga laporan daripada mangsa yang terjebak membuat pinjaman melalui aplikasi berkenaan dan menerima pelbagai ugutan kerana gagal melunaskan bayaran.

“Semakan mendapati, apabila aplikasi itu dimuat turun, secara automatik anggota sindiket boleh mengakses semua data dan maklumat peminjam yang disimpan di dalam telefon bimbit seperti gambar dan nombor telefon individu lain.

“Melalui cara itu, ahli sindiket akan menghubungi ahli keluarga atau rakan-rakan untuk membuat ugutan sekiranya peminjam gagal dihubungi,” ujarnya pada sidang akhbar secara maya, di Pejabat JSJK hari ini.

Jelas beliau, syarikat pinjaman wang tidak berlesen ini juga dikesan menggunakan modus operandi berpakat dengan syarikat ‘ceti haram’ lain untuk terus menawarkan pinjaman baharu kepada peminjam yang mahu melunaskan pinjaman yang masih tertunggak.

“Taktik demikian sememangnya menguntungkan mereka kerana mangsa yang dalam keadaan terdesak sanggup membuat pinjaman baharu bagi menjelaskan baki pinjaman lama.

“Mangsa yang dalam ketakutan akan berbuat apa sahaja tanpa menyedari syarikat yang menjadi tempat pinjamannya yang pertama telah berpakat dengan syarikat pinjaman lain demi mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas mangsa,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai agar jangan sesekali memuat turut aplikasi yang diberikan mana-mana individu di dalam telefon bimbit bagi mengelak daripada menjadi mangsa pinjaman haram. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI