fbpx
PLISKOVA berjaya mara ke pentas separuh akhir Kejuaraan Wimbledon buat kali pertama dalam kariernya selepas menumpaskan Viktorija Golubic dengan kemenangan straight set 6-2, 6-2. - AFP

Pliskova mara ke separuh akhir Wimbledon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pemain pilihan ke-8, Karolina Pliskova mengakui berbangga apabila berjaya menutup mulut pengkritik selepas berjaya mara ke pentas separuh akhir Kejuaraan Wimbledon buat kali pertama dalam kariernya.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung awal pagi semalam, pemain berusia 29 tahun itu tidak menghadapi kesukaran untuk menyingkirkan wakil Switzerland, Viktorija Golubic dengan kemenangan straight set 6-2, 6-2.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Republik Czech itu sebelum ini dikritik hebat kerana menjadi sebagai salah seorang bekas pemain No. 1 dunia yang gagal menjuarai sebarang trofi bertaraf Grand Slam sepanjang kariernya.

Kata Pliskova, kejayaan me­langkah ke pentas separuh akhir diharap menjadi titik permulaan untuk menghidupkan kembali kariernya selepas berdepan kritikan negatif khususnya daripada peminat tenis antarabangsa.

“Saya sangat gembira apabila dapat melangkah ke pusingan separuh akhir Kejuaraan Wimbledon buat kali pertama dalam karier dan secara jujur, saya te­lah bekerja keras untuk kembali pada prestasi terbaik sepanjang tahun ini.

“Bagaimanapun, harus diakui kritikan yang saya terima sejak beberapa tahun lepas khususnya apabila gagal menjuarai sebarang trofi Grand Slam sedikit sebanyak menjejaskan motivasi dan mentaliti saya sebagai pemain.

“Namun, kini saya sudah semakin matang dan sudah bersedia untuk merebut peluang dalam usaha melangkah ke pentas final tetapi cabaran sebenar adalah aksi separuh akhir menentang Aryna Sabalenka,” kata Pliskova yang kini menduduki ranking No. 13 dunia.

Sementara itu, Sabalenka yang diletakkan selaku pilihan kedua mara ke saingan separuh akhir selepas menamatkan cabaran pemain sensasi Tunisia, Ons Jabeur dengan kemenangan straight set 6-4, 6-3 awal pagi semalam. – AGENSI

POPULAR