fbpx

Nak ke mana dengan sombong – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRA FAZIRA mengingatkan semua agar menjauhi sifat sombong.

PETALING JAYA – Ketika negara berdepan dengan banyak isu kesusahan rakyat seperti kempen bendera putih yang tidak diakui sesetengah pemimpin, aktres Erra Fazira menerusi Instagramnya tampil berkongsi sebuah video teguran berhubung sikap sombong manusia.

Video berdurasi 1.55 minit tersebut memaparkan pelakon dan pendakwah terkemuka Indonesia, Oki Setiana Dewi berbicara tentang perihal sikap manusia sombong yang tidak disukai Allah SWT.

“Pernah bertemu dengan orang sombong? Atau pernahkah diri menjadi seorang yang sombong? Apa itu sombong? Sombong adalah ketika engkau menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.

“Kesombongan itu membinasakan. Kesombongan engkau berasa lebih tinggi daripada orang lain. Seharusnya kita berfikir, sombong itu untuk apa?” kata Oki.

Pada ruangan kapsyen, Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 47, berkata, ada kalanya manusia mungkin alpa dengan apa yang Allah pinjamkan sehingga terbit perasaan mendongak ke langit dalam diri.

“Kadangkala mungkin kita alpa dengan apa yang Allah pinjamkan. Terpukau dengan apa yang dibentangkan. Terhanyut dalam derusan nikmat dunia.

“Mungkin sedikit jentikan, bisikan dan teguran boleh menyedarkan jiwa-jiwa yang terapung. Terima kasih atas perkongsian ini,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat respons positif daripada pengikutnya yang berterima kasih kepada Erra kerana berkongsi nasihat baik untuk dijadikan pengajaran.

Malah tidak kurang juga yang memuji bintang filem Polis Evo itu yang cukup terkenal dengan sikap yang baik dan tidak pernah menyombong diri.

Dalam minggu ini sahaja, pelbagai isu panas timbul dalam kalangan masyarakat berkenaan penganjuran kempen bendera putih yang menyaksikan ramai rakyat terjejas terpaksa meminta bantuan demi meneruskan kehidupan.

Biarpun kempen tersebut dilihat sebagai satu tindakan rasional untuk membantu golongan memerlukan, tetap ada pihak yang menyuarakan rasa tidak setuju termasuklah segelintir pemimpin negara sendiri.

Terbaharu, jutawan kosmetik sensasi Datuk Seri Vida dikecam apabila menganggap segelintir pihak yang mengangkat bendera putih sebagai kurang berusaha dan malas mencari pendapatan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI