fbpx

Masih trauma diserang pak belang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adin masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli yang cedera selepas diserang seekor harimau belang di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai di sini pada Isnin lalu masih trauma dengan kejadian tersebut.

Anak mangsa, Kenwak Adin, 25, berkata, bapanya, Adin Andok, 48, masih teringat kejadian bergelut dengan haiwan buas itu selama 15 minit sebelum ditemui orang kampung dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, dia sempat berjumpa de­ngan bapanya sebelum lelaki itu menjalani pembedahan mata di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Selasa lalu.

“Dia masih mengingati detik diterkam pak belang. Saya nampak bapa seperti masih takut dan trauma dengan kejadian tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Kenwak, bapanya memaklumkan dia tidak me­nyangka akan terselamat kerana badannya sudah lemah selepas bergelut selama 15 minit.

Jelasnya, ba­panya kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di unit rawatan rapi HSIP.

Adin dijadualkan menjalani pembedahan mata dan mene­rima kira-kira 30 jahitan di muka, kepala serta lengan akibat dicakar binatang tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, usaha memasang perangkap, kamera memantau dan nasihat akan dilakukan bagi menjamin ke­selamatan penduduk.

“Pihak Perhilitan akan membantu mangsa mendapatkan bantuan Kumpulan Wang Ama­nah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Perhilitan turut menasihatkan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut supaya tidak ke kebun bersendirian bagi mengelak kejadian sama berulang:

Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki Orang Asli terpaksa bertarung selama 15 minit dengan harimau belang ketika berada di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai pada pukul 3 petang.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa. Harimau belang itu menerkam kepala mangsa dan mencakar badannya sebelum me­ning­galkan lelaki itu selepas bergelut selama 15 minit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI