fbpx

Ratu Ten Pin bukan drama Melayu tipikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Ratu Ten Pin kini disiarkan menerusi saluran Astro Ria.

INGIN mengubah landskap dan trend drama tempatan, pelakon dan penerbit Sheila Rusly cuba membawa kelainan menerusi sebuah karya terbaharu terbitan JS Pictures yang mengetengahkan genre sukan boling, Ratu Ten Pin.

Lari daripada kebiasaan drama tipikal di Malaysia, Sheila memberitahu untuk membawa kelainan bukanlah satu perkara yang mudah kerana genre tersebut memerlukan penelitian lebih terhadap aspek teknikal sukan berkenaan.

“Proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah satu perkara yang mudah untuk direalisasikan.

“Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar untuk dilakukan, ditambah pula dengan tempoh pengambaran yang singkat.

“Apapun, alhamdulillah telah di­tayangkan,” katanya dalam sidang akhbar virtual Ratu Ten Pin baru-baru ini.

KEHADIRAN Syaidatul (dua dari kiri) memberi sentuhan profesional dalam persembahah dan permainan boling menerusi naskhah Ratu Ten Pin.

Dedikasi pelakon

Bercerita lanjut mengenai Ratu Ten Pin, Sheila memberitahu, setiap watak dalam drama tersebut mempunyai kekuatan tersendiri.

Ujarnya, dia juga turut kagum dengan semangat dan dedikasi yang diberikan oleh para pelakon untuk menghidupkan setiap watak dalam drama arahan Jing­go itu.

“Jika hendak bercerita tentang watak, setiap pemain dalam drama ini memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya kagum dengan setiap pelakon yang sentiasa berusaha dan tidak putus asa untuk memberikan yang terbaik. Mereka bukanlah pemain boling profesional tetapi semangat mereka harus dipuji,” katanya.

Penerbit juga pelakon yang terkenal dengan watak Opah dalam drama Bukan Gadis Biasa itu menambah, semua pelakon dalam drama tersebut tidak mendapat latihan mencukupi untuk mempelajari tentang sukan boling secara teknikal dan praktikal.

“Produksi dan pelakon ada masa yang singkat mempelajari tentang watak mereka untuk kelihatan seperti pemain boling profesional. Ada yang belajar sendiri semasa penggambaran sehinggalah pusat boling ditutup.

“Kekangan masa membuatkan segala tempoh latihan menjadi sedikit tergesa-gesa. Pujian memang layak diberi kepada mereka, usaha yang diberikan 100 peratus,” ujarnya.

KELUAR daripada kisah cinta klise, Sheila Rusly kini muncul sebuah naskhah genre kesukanan yang mengangkat sukan boling sebagai subjek penceritaan.

Bantuan pemain profesional

Memaparkan genre berbeza daripada drama tipikal lain turut menuntut kru produksi mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas pemain boling kebangsaan iaitu Shalin Zulkifli dan Syaidatul Afifah.

Tambahnya yang membawa watak sebagai jurulatih boling bernama Maria dalam Ratu Ten Pin, perkara tersebut sangat diperlukan bagi memastikan setiap aspek dalam drama ini tepat.

“Kami sendiri tidak memiliki pengetahuan mengenai boling. Jadi, penglibatan Shalin ialah satu keputusan paling tepat kerana dia sangat membantu dari aspek terma-terma yang digunakan, cara permainan, teknik balingan, gerakan dan sebagainya.

“Untuk pengetahuan semua, setiap babak strike, balingan yang ditayangkan, semuanya dilakukan sendiri oleh para pelakon. Tidak ada penipuan langsung walaupun terpaksa rakam berpuluh-puluh kali.

“Jika tiada mereka, drama ini akan dikecam kerana tidak menggunakan terma dan teknik yang tepat dalam sukan boling,” katanya.

Pada masa sama, Sheila juga bersyu­kur kerana berjaya melibatkan seorang pemain boling profesional, Syaidatul Afifah yang kini mula berjinak-jinak sebagai pelakon.

“Pengalaman Syaidatul sebagai seorang pelakon ‘kosong’ tetapi dia ada kelebihan kerana memiliki pengalaman mendalam dalam sukan boling. Jadi, saya menggunakan kelebihannya itu dan pada masa sama mengasah bakat lakonannya,” tuturnya.

SYAIDATUL AFIFAH

Syaidatul teruja

Sementara itu, Syaidatul turut menzahirkan perasaan teruja apabila berpeluang menjadi salah seorang pelakon dalam Ratu Ten Pin.

“Ilmu saya dalam bidang lakonan ‘kosong’ tetapi saya tetap menyahut cabaran ini kerana jalan ceritanya yang mengangkat kisah sukan bo­ling yang jarang diketengahkan kepada umum.

“Saya dan pelakon lain saling bertukar ilmu di set penggambaran. Contohnya, saya akan beri tunjuk ajar mengenai bola boling serta peraturan sukan tersebut, manakala rakan pelakon dan pengarah akan membantu saya dari segi penghayatan lakonan,” katanya lagi.

“Terima kasih kepada Sheila dan pelakon lain yang beri tunjuk ajar. Tanpa mereka pasti saya akan buntu.

Drama 16 episod yang ditayangkan menerusi Astro Ria tersebut turut menampilkan lakonan Elisya Sandha, Fify Azmi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Esma Da­niel, Lisdawati dan Aleeza Kasim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI