fbpx

Ramai berbelah bahagi ambil moratorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Permohonan untuk mendapatkan moratorium selama enam bulan telah mula dibuka hari ini namun ramai yang berasa berbelah bahagi untuk memohon kemudahan bayaran balik pinjaman itu.

Seorang pensyarah universiti swasta, Azliza Azrah berkata, walaupun masih mampu membayar ansuran pinjaman dia sedang mempertimbangkan untuk mengambil moratorium sebagai simpanan kecemasan.

“Saya sedang mempertimbangkannya sebagai simpanan kecemasan atau menggunakan wang yang sepatutnya membayar pinjaman untuk mengurangkan jumlah pinjaman kad kredit.

“Saya fikir pihak bank perlu memberikan ilustrasi yang lebih jelas dan telus tentang moratorium ini supaya masyarakat lebih memahami implikasi kepada pinjaman mereka selepas moratorium berakhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Di media sosial, ramai juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat di samping mahu mengumpul maklumat serta memahaminya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

“Saya masih cukup belanja. Cuma perlukah saya ambil moratorium kali ni untuk beli mata wang kripto atau aset digital untuk pelaburan?,” soal Hasni Muda.

“Pening saya. Siapa boleh bantu terangkan secara ringkas dan tepat,” ujar John Labu.

Selain itu, ada juga yang mengambil sikap berkecuali dan menasihati peminjam lain supaya membuat keputusan berdasarkan situasi yang dihadapi mereka.

“Moratorium siapa hendak ambil silakan. Siapa tidak mahu ambil silakan bayar seperti biasa. Buat apa hendak gaduh-gaduh. Pilihan di tangan kita,” ulas Zack Rain.

“Walaupun bergaji, tetap terasa sesak bila sampai tengah bulan. Duduk rumah lagi banyak guna duit. Bukan besar mana gaji. Bila ada moratorium lega sikit. Bukan tidak mahu menyimpan tetapi keperluan harian lebih penting,” ujar Zamri Thalib.

Dalam pada itu, kebanyakan peminjam yang menyifatkan moratorium sebagai jalan keluar terakhir kepada masalah tekanan kewangan yang dihadapi.

“Bagi yang terdesak terpaksa ambil lebih-lebih lagi jika pinjaman perumahan. Tak ambil rumah bakal tergadai, hilang tempat tinggal, sudahlah cuma ada rumah pertama. Kerja tiada. Pendapatan tiada,” ujar Samara Natasha.

“Saya terpaksa butakan mata untuk melihat keuntungan bank. Saya celikkan mata untuk mengambil moratorium. Keadaan sangat-sangat terdesak. Kami hanya ada satu pilihan iaitu moratorium,” ujar Aduka Putra.

“Saya tiada pilihan lain, terpaksa ambil moratorium demi kelangsungan pengajian PhD (Ijazah Doktor Falsafah) saya,” komen Nor Azizuddin Abdul Manan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI