fbpx
Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melintasi landasan keretapi untuk menyampaikan sumbangan makan di Kampung Belukar Berangan, Tumpat hari ini. - Foto : ROSALWANI CHE SOH

Lintas landasan kereta api hulur bantuan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat terpaksa melintas dan menyeberangi landasan kereta api dalam usaha untuk menyampaikan bantuan makanan kepada golongan memerlukan di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, usaha untuk mengagihkan bantuan itu dilakukan meskipun terpaksa melalui laluan sukar agar bantuan diterima golongan sasaran.

Katanya, sebelum ini, IPD Tumpat telah masuk ke kawasan kampung yang berbukit dan sempit untuk menghantar bantuan.

“Kali ini, kita melintas landasan kereta api untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di Kampung Belukar, Berangan di sini.

“Sumbangan ini bukan hanya memberi tumpuan kepada golongan asnaf, tetapi kepada golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ekoran tidak dapat bekerja dan mengalami masalah kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari ini.

Menurut Mohd. Razi, pihaknya menghantar bantuan 10 kotak makanan yang mengandungi gula, minyak masak, susu, telur, sardin dan beberapa keperluan lain.

Katanya, usaha itu akan terus dijalankan oleh IPD Tumpat terutamanya kepada penduduk di kawasan pedalaman daerah ini dalam masa terdekat.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Ramlah Sulaiman, 53, berkata, dia amat bersyukur atas bantuan makanan asas yang disampaikan oleh IPD Tumpat.

“Buat masa ini, saya hanya mengharapkan bantuan kewangan dari anak yang bekerja sendiri. Suami memang tidak mampu bekerja selepas diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu.

“Terima kasih kepada pihak polis yang turun menyalurkan bantuan kepada golongan seperti kami yang tidak mempunyai punca pendapatan yang tetap,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN