fbpx

Hanya yang bertuah dapat rasa tupai king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISI buah tupai king yang kekuningan dan padat dalam pangsanya mendapat perhatian penggemar durian di Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Hanya penggemar durian yang bertuah berpeluang untuk merasai kenikmatan raja buah jenis baharu, Tupai 226 atau lebih dikenali sebagai tupai king yang semakin popular ketika ini.

Ini disebabkan, buah yang semakin menjadi rebutan dan kegilaan dalam kalangan ‘hantu durian’ itu kini dikatakan sema­kin berkurangan ketika ini dan belum luruh sepenuhnya dari pokok.

Dengan berkonsep ‘siapa cepat dia dapat’, pelanggan tupai king kini juga terpaksa berkunjung ke gerai jualannya sejak awal pagi bagi mendapatkan buah durian tersebut.

Peniaga durian, Nicholas Chang, 44, berkata, telah berlaku pengurangan terhadap hasil pengeluaran tupai king kali ini dan kemungkinan pelanggan yang ‘bertuah’ sahaja dapat me­rasai buah itu pada penggal ke­dua seminggu lagi.

Dakwanya, kini dianggarkan terdapat kurang 10 batang pokok tupai king yang berjaya membuahkan hasil pada tahun ini di dua buah dusun di Balik Pulau.

“Kemungkinan nanti tak (tidak) ramai yang akan dapat rasa tupai king lagi kerana hanya tinggal beberapa batang pokok sahaja yang akan mengeluarkan baki buah itu.

“Sekarang, semua jenis durian boleh dikatakan sudah kurang. Hari ini (semalam), ramai pelanggan datang ke gerai saya pada awal pagi semata-mata mahu mendapatkan buah variasi baharu itu,” jelasnya.

Tambahnya, memang sudah banyak yang tanam durian tupai king di Balik Pulau cuma ia mengambil masa beberapa tahun untuk berbuah.

Kosmo! semalam melaporkan durian jenis tupai king kini telah mengalahkan kehebatan durian premium jenis black thorn atau duri hitam apabila variati baharu itu mula mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Ramai pelanggan setia durian duri hitam kini telah pun me­ngalihkan tumpuan mereka terhadap pembelian tupai king di sini ketika ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI