fbpx

Agong berkenan serah Jalur Gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-SULTAN ABDULLAH berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sambil diperhatikan oleh Mohamad Norza (kanan) dan Megat D. Shahriman di Istana Negara, Kuala Lumpur petang semalam.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara petang semalam.

Hadir sama pada majlis menghadap pukul 4 petang itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin.

Istana Negara dalam satu kenyataan memberitahu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Menteri Belia dan Sukan sebagai simbolik penerimaan bagi pihak kedua-dua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Para­limpik Tokyo 2020.

“Temasya Sukan Olimpik Tok­yo 2020 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

“Pada sesi itu juga, Baginda berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara pada kedua-dua temasya tersebut,” kata kenyataan Istana Negara.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kegigihan dan kecekalan serta kejayaan mereka melayakkan diri bersaing pada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Baginda menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik bagi menjulang nama Malaysia di persada dunia.

Selain itu, Baginda menzahirkan harapan kepada para atlet dan pegawai supaya sentiasa menjaga kesihatan ketika berada pada ke­dua-dua temasya tersebut.

“Baginda menyeru seluruh rakyat mendoakan semoga atlet negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan pada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Para­limpik Tokyo 2020,” kata Istana Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI