LONDON – Pemain sayap Sepanyol, Mikel Oyarzabal melaungkan amaran kepada Itali menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada separuh akhir Euro 2020 di Wembley awal pagi esok.
Meskipun skuad La Roja melangkah ke separuh akhir menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti, namun pemain berusia 24 tahun itu yakin mereka mampu untuk menewaskan sesiapa sahaja.
Walaupun sedar dengan kualiti yang dimiliki pemain-pemain Itali, namun Oyarzabal menegaskan, Sepanyol juga menunjukkan corak permainan menarik selain mampu untuk menjaringkan banyak gol.
Justeru, dia menggesa rakan sepasukan agar mengulangi prestasi seperti sebelum ini sekiranya mereka mahu mengalahkan The Azzurri, seterusnya mara ke final bagi memburu gelaran keempat mereka.
“Ramai orang tahu, jika Sepanyol menampilkan aksi sebenar, kami mampu untuk tewaskan sesiapa sahaja. Apa yang penting, semua pemain perlu percaya pada diri sendiri serta falsafah bola sepak pasukan ini.
“Itali memiliki ramai pemain yang bagus dan perlawanan itu nanti akan menjadi satu aksi sukar buat kami. Mungkin mereka berada pada prestasi terbaik ketika ini, namun kemampuan kami juga tidak boleh dipandang rendah,” kata Oyarzabal.
Pemain Real Sociedad itu turut menjelaskan, mereka juga sudah bersedia sepenuhnya sekiranya pemenang pada aksi separuh akhir nanti perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.
Katanya, Sepanyol sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan dan menganggap kemenangan mereka ke atas Switzerland sebelum ini bukanlah disebabkan oleh tuah semata-mata.
“Kami sentiasa mengkaji penjaga gol mereka serta pengambil sepakan penalti pasukan lawan. Saya yakin pasukan lain juga menggunakan pendekatan sama seperti Sepanyol.
“Secara jujur, kami bukannya bergantung kepada nasib semata-mata kerana semua pemain sudah bekerja keras dalam sesi latihan sekiranya perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti,” ujarnya. – AGENSI