fbpx

Perkahwinan adik beradik sebapa dipisahkan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kes seorang wanita yang dilaporkan berkahwin dengan abangnya telah selesai selepas ikatan pernikahan itu difaraq atau dipisahkan oleh pihak mahkamah.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, perkahwinan tersebut disebut nikah fasid iaitu pernikahan yang tidak memenuhi syarat-syarat sah bernikah mengikut hukum syarak.

Fahmi

Berita berkaitan: Kahwini abang kandung angkara bapa nikah rahsia 

“Tambahan pula ibu mertua wanita tersebut sudah melakukan pengesahan nikah. Manakala mahkamah telah mengesahkan nikah tersebut dan suami wanita itu merupakan anak lelaki yang sah kepada bapa bersama ibu mertuanya.

“Kes ini sebenarnya berlaku sekitar 2017 atau 2018. Seingat saya prosesnya agak cepat hanya melibatkan empat sesi mahkamah termasuk ketika tarikh sebutan kes, perbicaraan, hujah dan keputusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya, pemfailan cerai yang biasa atau lafaz talak tidak terpakai kepada pasangan berkenaan kerana pada asasnya pernikahan mereka tidak sah.

“Tetapi anak hasil perkahwinan berkenaan masih boleh kekal berbin atau berbintikan bapanya kerana status anak itu disebut sebagai anak persetubuhan syubhah memandangkan ibu bapanya tidak tahu mereka adalah adik beradik sewaktu bernikah.

“Namun, seandainya ibu bapa ini tetap berkahwin juga walaupun tahu mereka adik beradik, mereka dianggap berzina dan anak itu tidak boleh dinasabkan kepada bapa berkenaan,” jelasnya.

Semalam, hantaran beliau mengenai kisah seorang wanita berkahwin dengan abangnya apabila bapa mereka bernikah secara rahsia di Thailand tular di laman Facebook dan dikongsi lebih 2,000 kali. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI