fbpx
MENURUT Md. Noh, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menjadikan emosi setiap ahli keluarga stabil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kalau murung, kongsi masalah elak tekanan jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG pandemik Covid-19 terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, masyarakat sememangnya terkesan dari segi emosi dan juga kesihatan mental.

Tekanan tidak hanya dialami oleh kakitangan di sektor awam dan petugas kesihatan atau barisan hadapan, tetapi tekanan turut dirasai oleh golongan lain dalam kalangan masyarakat.

Bagi mengurang impak berkenaan, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menubuhkan Talian Kasih dalam mengurangkan keresahan masyarakat terhadap pandemik Covid-19.

Data Januari hingga Mei 2021 mendapati, perkhidmatan kaunseling LPPKN merekodkan 629 kes keluarga termasuk ketegangan rumah tangga dan 486 kes kesihatan mental berlaku akibat stres.

Seramai 78 kaunselor LPPKN dan panel kaunselor terlibat dalam memberi khidmat nasihat 24 jam secara bergilir-gilir kepada pemanggil di Talian Kasih.

Bagi mengulas lanjut permasalah dihadapi masyarakat ketika Covid-19, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang menemu bual Ketua Unit Kaunseling dan Intervensi LPPKN, Md. Noh Saiman.

KOSMO AHAD!: Kita sedar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada 1.0 atau kini 3.0, kita semua berkurung dalam rumah dan ramai yang stres. Boleh terangkan peranan dimainkan LPPKN dalam menangani, membantu dan mengatasi masalah stres, ketegangan rumah tangga yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat khususnya sepanjang pandemik Covid-19?

MD. NOH: Penularan pandemik Covid-19 serta PKP tidak dinafikan menyumbang kepada pelbagai tekanan dan cabaran kepada masyarakat. Orang ramai menghadapi pelbagai isu emosi seperti risau, gemuruh serta stres.

Dalam hal ini, LPPKN mengambil inisiatif positif dalam memainkan peranan bagi memastikan kestabilan kesejahteraan emosi masyarakat.

Medium tele-kaunseling secara dalam talian serta e-kaunseling antara platform perkhidmatan terpenting kepada masyarakat buat masa ini.

Jika sebelum pandemik Covid-19, LPPKN memberi fokus kepada perkhidmatan kaunseling secara fizikal atau bersemuka.

Kini, lebih 80 peratus tertumpu kepada kaunseling dalam talian sahaja.

LPPKN turut menyediakan aplikasi interaktif remaja yang dinamakan mykafeTeen sebagai khidmat sokongan kaunseling kepada remaja dan ibu bapa.

Baru-baru ini, viral di media sosial, terdapat kes bunuh diri disebabkan stres kerana perniagaan merudum dan hilang pekerjaan disebabkan terkesan Covid-19.
Sejauh mana kemurungan boleh memberi impak sehingga sanggup mengambil nyawa sendiri dan apa sepatutnya dilakukan mereka bagi menguruskan tekanan dihadapi?

Kehidupan senantiasa berubah, jadi setiap individu perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu PKP.

Ketidakstabilan emosi menjadi isu utama kesihatan mental masyarakat sejak negara melaksanakan PKP.

Antara cara mengurus emosi ketika cabaran PKP adalah menggunakan minda, emosi dan fizikal untuk tenangkan diri dengan melakukan aktiviti bermanfaat bersama keluarga.

Aktiviti seperti ini boleh mewujudkan ruang bagi setiap ahli keluarga untuk berkongsi pendapat serta meluahkan emosi terpendam.

Hubungan antara ahli keluarga juga akan menjadi lebih erat. Teknik ini akan mendorong ibu bapa untuk membentuk kesejahteraan keluarga.

Lakukan latihan bernafas bagi membantu pengedaran oksigen yang sempurna untuk menenangkan diri.

Sekiranya ia berlarutan, individu berkenaan boleh berjumpa dengan pakar bertauliah untuk menstabilkan kesejahteraan emosi.

LUAHKAN apa yang terpendam atau di hati kepada orang terdekat terutama keluarga bagi mengurangkan stres, selain dapat mengelak kejadian bunuh diri akibat kemurungan melampau. – GAMBAR HIASAN

Sepanjang Talian Kasih diwujudkan, mungkin ada pemanggil yang dalam keadaan stres disebabkan pelbagai masalah bercerita untuk melakukan tindakan ekstrim termasuk membunuh diri. Berapa ramai yang telah berjaya dibantu pihak LPPKN daripada terjebak ke kancah lebih serius seperti kemurungan melampau termasuk bunuh diri?

Kemurungan dalam kalangan masyarakat sepanjang tempoh PKP kini berada di tahap membimbangkan. Mengikut sumber terkini daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, tahap kes bunuh diri di negara meningkat sebanyak 16.8 peratus pada 2020 berbanding 2019.

Daripada aspek psikologi, masalah kemurungan melampau termasuk bunuh diri dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental.

Pada tahun 2020, Unit Kaunseling LPPKN telah membantu seramai 486 individu yang memerlukan bantuan berkaitan masalah kemurungan, stres yang boleh menjejaskan kesihatan mental.

Kemurungan melampau sehingga mendorong kepada gejala membunuh diri mungkin berlaku kepada individu yang tidak mampu untuk menangani tekanan secara berkesan.

Berapakah jumlah panggilan yang diterima sehingga kini dan jenis aduan paling banyak diterima?

Semenjak PKP bulan Mac 2020 sehingga Jun 2021, LPPKN telah mengendalikan sebanyak 5,322 kes.

Kes paling tinggi adalah isu rumah tangga diikuti psikologi dan remaja.

Boleh nyatakan juga antara kes-kes besar atau menarik yang pernah ditangani atau diterima oleh pihak LPPKN sepanjang pandemik ini?

Salah satunya adalah kes seorang wanita warga emas dari Sarawak. Sejak suaminya meninggal dunia pada 2019, tidak ada seorang pun anak-anaknya mahu tinggal dengannya.

Klien mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di Kuala Lumpur sehingga kini.

Namun sejak PKP, dia tidak dapat membayar sewa bilik selama tiga bulan kerana restoran tempat dia bekerja telah tutup sehingga dihalau oleh tuan rumah.
Kes ini dirujuk kepada Persatuan Tzi Chi Malaysia bagi bantuan kewangan dan sara hidup termasuk bayaran bilik sewa.

Kedua adalah kes tekanan perasaan oleh bekas pesakit Covid-19.
Tindakan kaunselor adalah membimbing klien membina kehidupan baharu tanpa menghiraukan kata-kata kesat dilemparkan oleh orang lain.

Apa bentuk tindakan susulan yang diambil oleh pihak LPPKN sebaik menerima aduan daripada orang ramai khususnya dalam menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi dan berapakah jumlah aduan yang telah berjaya diselesaikan sehingga kini?

Sepanjang tempoh PKP, LPPKN telah mengaktifkan email [email protected] untuk menerima sebarang aduan daripada masyarakat.

Pelbagai aduan dan pertanyaan melibatkan perkhidmatan diterima daripada klien LPPKN dan masyarakat umum. Bagi kes-kes rujukan, semua klien diurus dengan baik melalui janji temu ditetapkan.

Adakah kesan psikologi kepada kanak-kanak yang berkurung semasa PKP sama dengan apa yang dialami orang dewasa dan apakah cara untuk mengatasinya?

Sekiranya terlalu lama duduk di rumah, ia boleh mengakibatkan demam terperuk. Kanak-kanak yang selama ini aktif bergerak di dalam dan luar rumah akan terganggu rutin harian mereka.

Ini mengakibatkan tekanan berlebihan sekiranya tidak diuruskan sebaiknya.
Orang dewasa amnya dan ibu bapa khasnya perlu membantu dan membimbing anak-anak melalui kesukaran ini dengan tenang.

Dalam hal ini orang dewasa perlu menenangkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada orang lain termasuk anak.

Orang dewasa terlebih dahulu perlu mengawal emosi dan bijak menguruskan tekanan dengan cara terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN