fbpx

Itali gah mara, Belgium akur tersungkur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LORENZO Insigne meraikan jaringan kedua Itali ketika skuad The Azzurri menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Euro 2020 di Allianz Arena, Munich sebentar tadi. - AFP

MUNICH – Itali mengesahkan tempat ke separuh akhir Euro 2020 selepas mencatat kemenangan berharga 2-1 ke atas Belgium pada aksi suku akhir di Allianz Arena sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan peluang The Azzurri semakin cerah untuk menamatkan penantian bergelar juara Eropah sejak kali terakhir memenanginya pada 1968.

Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut juga menyaksikan Itali kini masih belum tewas daripada 34 perlawanan antarabangsa berturut-turut di bawah bimbingan Roberto Mancini.

Pada aksi itu, Itali bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Leonardo Bonucci hasil sepakan percuma Lorenzo Insigne pada minit ke-13.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati kapten Itali, Giorgio Chiellini berada dalam kedudukan ofsaid ketika itu.

Itali yang pernah bergelar juara dunia sebanyak empat kali, akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi Nicola Barella pada minit ke-34 sebelum Insigne menggandakan kedudukan berselang 10 minit kemudian.

Belgium yang dikendalikan Roberto Martinez, berjaya merapatkan jurang kedudukan melalui sepakan penalti Romelu Lukaku pada penghujung separuh masa pertama.

Begitupun, pasukan ranking No. 1 dunia itu terpaksa akur kecundang kepada Itali disebabkan kegagalan menyempurnakan setiap peluang yang dimiliki sepanjang babak kedua.

Sebaliknya, Itali dilihat pasukan paling layak meraih kemenangan itu, selepas berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 sehingga tamat perlawanan sekali gus menempah slot bertemu Sepanyol untuk aksi separuh akhir di Wembley pada 7 Julai ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI