fbpx

Tiada cuaca panas luar biasa di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak perlu bimbang dengan fenomena cuaca panas yang berlaku di Kanada dan Amerika Syarikat ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata, penduduk negara ini tidak akan terjejas kerana Malaysia kini berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September 2021.

“Dalam tempoh ini METMalaysia menjangkakan suhu yang lebih rendah daripada biasa pada Julai kerana cuaca yang lebih lembap dan hujan yang lebih banyak berbanding biasa.

“Keadaan ini adalah disebabkan oleh peralihan daripada fasa La Nina kepada ENSO Neutral. Jabatan juga menjangkakan taburan hujan normal mulai Ogos,” katanya di sini hari ini.

Oleh itu katanya, Jabatan tidak menjangkakan suhu panas luar biasa akan berlaku di Malaysia pada tahun ini, serta tidak akan berlaku kejadian jerebu rentas sempadan yang serius dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial atau talian hotline METMalaysia untuk sebarang maklumat lanjut.

Difahamkan Kanada dan barat laut Amerika Syarikat sedang mengalami cuaca panas dan gelombang haba dengan catatan rekod sehingga 47.9 darjah selsius dan 46.6 darjah selsius disebabkan sistem tekanan udara tinggi hampir statik atau bergerak sangat perlahan di kawasan tersebut akibat keragaman iklim. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI