“Saya masih ingat terpaksa pergi ke pasar tani saban minggu dengan menyewa van. Seluruh pelosok daerah di Kelantan saya berniaga sambil membawa anak-anak kecil masa itu,” kata Norshaznina Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Memsu.
Katanya, berkat kesabaran bertahun-tahun berniaga dari bawah, dia kini berjaya melahirkan lebih daripada 4,000 ejen di bawahnya yang kini memasarkan dua produk keluarannya sendiri di bawah jenama Moksumall.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran saya dibalas Allah. Pada masa sama, saya juga dapat membantu ramai wanita yang ingin menambah pendapatan.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
BENAR kata orang, bukan senang untuk menjadi senang. Itulah yang terpaksa ditempuh dan dilalui seorang wanita cekal kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Perjalanan hidupnya tidak semudah yang difikirkan. Bermacam-macam kerja pernah dilakukannya sebelum bergelar usahawan berjaya pada hari ini.
Menyorot kembali cerita lama, pemilik nama Norshaznina Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Memsu kadang-kala tidak pernah terfikir boleh sampai ke tahap ini.
Ceritanya, sebelum melibatkan diri dalam perniagaan, dia terlebih dahulu berkhidmat sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di beberapa buah sekolah sekitar Pasir Mas.
“Memang sebelum berniaga, saya pernah menjadi guru bermula 2004 hinggalah 2014. Diam tak diam 10 tahun juga saya mengajar dan bekerja makan gaji.
“Tapi pada masa sama, minat berniaga tu memamg sudah ada dan sebati dalam diri. Kalau ikutkan dalam adik-beradik dan keluarga, memang tiada yang minat berniaga,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Meneruskan perkongsian, Memsu, 37, memberitahu, walaupun sibuk mengajar, dia tetap berniaga menjual kain kepada rakan-rakan guru di sekolah bagi menambah pendapatan.
Katanya, kerjaya sebagai guru KAFA berakhir selepas 10 tahun kerana kemahuan suaminya, Tuan Muhamad Nur Zulhisham Tuan Ismail, 39, yang mahukan dia duduk di rumah dan fokus kepada keluarga.
“Selepas 10 tahun mengajar, saya berhenti dan meletakkan jawatan kerana mengikut kata suami. Jadi, sepanjang di rumah saya tidak tahu nak buat apa.
“Saya minta izin suami untuk berniaga dengan menjadi ejen dan pengedar bagi pelbagai jenis produk orang lain.
“Suami membenarkan dan dengan modal simpanan yang ada, saya menyewa sebuah kedai kecil di bandar Pasir Mas untuk berniaga,” ujarnya.

Jelasnya, pada masa itu dia menjual apa sahaja produk termasuk makanan, pakaian, jus, barangan elektrik, produk kesihatan dan lain-lain.
Tambah Memsu, pada ketika itu, dia menjual lebih daripada 405 item dan bermula daripada situlah, kedainya digelar Moksumall sebagai simbolik menempatkan ratusan produk dalam satu bumbung.
Langit tidak selalu cerah, begitu juga yang dialami Memsu.
Beberapa tahun berniaga, dia terpaksa menutup kedai dek kerana masalah pengurusan dalaman.
“Masa itu memang sedih, saya terpaksa ‘korbankan’ kedai dan tutup kerana mengalami masalah pengurusan yang melibatkan kewangan.
“Saya buntu seketika. Tetapi saya tak berdiam lama. Bermodalkan RM3,500 wang pinjaman daripada bapa, saya tekad bangkit dan mulakan perniagaan semula dari bawah.
“Saya masih ingat terpaksa pergi ke pasar tani saban minggu dengan menyewa van. Seluruh pelosok daerah di Kelantan saya berniaga sambil membawa anak-anak kecil masa itu,” tuturnya.

Meneruskan cerita, Memsu berkata, berkat kesabaran bertahun-tahun berniaga dari bawah, dia kini berjaya melahirkan lebih daripada 4,000 ejen di bawahnya yang kini memasarkan dua produk keluarannya sendiri iaitu kapsul herba dan JK Love Coffee di bawah jenama Moksumall.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran saya dibalas Allah. Pada masa sama, saya juga dapat membantu ramai wanita yang ingin menambah pendapatan.
“Prinsip saya hanya satu iaitu tidak akan berjaya selagi mana tidak menjadikan orang lain turut berjaya. Itu yang saya pegang sampai sekarang,” ujarnya menutup bicara.














