fbpx

Ukraine benam Sweden pada saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARTEM Dovbyk (kanan) berjaya menanduk masuk untuk gol kemenangan Ukraine ketika menewaskan Sweden 2-1 pada pusingan 16 terbaik, Euro 2020 di Hampden Park, Glasgow sebentar tadi. - AFP

GLASGOW – Gol saat akhir pada masa tambahan membawa Ukraine ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Sweden 2-1 pada pusingan 16 terbaik di Hampden Park sebentar tadi.

Bagaimanapun, Sweden dilihat menampilkan aksi lebih baik serta mendominasi permainan, namun berjaya diimbangi oleh Ukraine dengan baik sepanjang perlawanan.

Selepas beberapa kali mencuba, pemain pertahanan, Oleksandr Zinchenko meletakkan Ukraine 1-0 di depan pada minit ke-27 apabila sepakan separa voli yang dilakukan berjaya menewaskan penjaga gol Sweden, Robin Olsen.

Sedar ketinggalan 0-1, Sweden kemudiannya menggandakan asakan ke arah pintu gol lawan, namun gagal untuk menembusi benteng pertahanan Ukraine yang cukup kebal.

Ketika separuh masa pertama berbaki dua minit, skuad kendalian Janne Andersson memperoleh gol penyamaan menerusi percubaan Emil Forsberg yang terkena pemain pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi lebih terbuka apabila mereka berbalas serangan dan hampir menambah jaringan buat pasukan masing-masing.

Percubaan Sweden dan Ukraine beberapa kali menggegarkan tiang serta palang gol masing-masing, namun kedudukan 1-1 kekal sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Pada minit ke-99, Sweden menerima tamparan hebat apabila pemain pertahanan, Marcus Danielson dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas Artem Biesiedin.

Sweden yang hanya beraksi dengan 10 pemain nyata memberi kelebihan buat Ukraine apabila skuad kendalian Andriy Shevchenko itu melakukan asakan demi asakan ke arah pintu gol lawan.

Ketika perlawanan dilihat bakal diheret ke penentuan sepakan penalti, Artem Dovbyk menjadi wira Ukraine apabila menjaringkan gol kemenangan selepas menanduk masuk hantaran lintang Zinchenko pada minit ke-120+1. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI