BAGI negara yang mempunyai iklim empat musim iaitu sejuk, bunga, panas dan luruh, penduduknya akan berfesyen mengikut kesesuaian keadaan tersebut agar tampil bergaya dengan selesa mengikut perubahan cuaca semasa.
Negara-negara yang terletak di hemisfera utara kini mengalami musim panas bermula Jun hingga September, manakala pada Disember hingga Mac pula giliran hemisfera selatan.
Sehubungan itu, jenama fesyen terkemuka Marks & Spencer tampil dengan koleksi Musim Panas 21 untuk digayakan seisi keluarga menerusi koleksi wanita, lelaki dan kanak-kanak.
Antara busana musim panas yang boleh dicuba untuk wanita ialah dres feminin cetakan segar dengan gaya ringkas dan anggun.
“Mereka juga boleh menggayakan dres tersebut dengan jaket denim yang direka khas untuk musim panas dengan pilihan warna seperti merah jambu, khakhi dan biru.
“Tidak ketinggalan baju-T dengan gaya santai dan fabrik sejuk serta selesa juga perlu dicuba,” kata kenyataan media Marks & Spencer itu.

Khas untuk wanita yang sukakan aktiviti kecergasan, koleksi Musim Panas 21 Goodmove diteruskan dengan menampilkan rekaan penuh bertenaga, bergaya dan berupaya meningkatkan senaman mereka.
Direka dengan gaya baharu, kemas, cetakan menarik dan disokong dengan fabrik lestari serta teknologi inovatif.
Koleksi kecergasan itu didatangkan dengan seluar pendek, legging dan jaket versatil.
“Pasukan pereka Marks & Spencer menggunakan fabrik yang ‘bernafas’ dan cepat kering supaya dapat bergerak dengan selesa sepanjang hari.
“Menerusi koleksi Goodmove ini, turut didatangkan dengan peralatan senaman seperti tikar yoga, pemberat, tali peregang, botol air dan stoking yang diperbuat menggunakan fabrik serta teknologi khas untuk pergerakan lebih selesa,” ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, bagi koleksi lelaki pula, jenama tersebut mengetengahkan gaya santai yang memberikan imej moden kontemporari dan bersahaja dengan menggunakan kain sangat selesa.

Antara padanan koleksi tersebut ialah baju kemeja fabrik kapas dengan cetakan bunga yang polos bersama seluar pendek chino dalam pelbagai warna.
Koleksi musim panas untuk lelaki menggunakan cetakan bersih, gaya minimal dan rona neutral seperti merah jambu lembut, batu karang serta biru bagi membangkit mood pada hari yang sangat terang disinari matahari.
Para pereka juga menggunakan kain jersi yang sangat selesa dipakai pada musim panas bersama rekaan siluet moden.
Dalam pada itu, koleksi musim panas untuk si cilik pula direka dengan corak grafik yang sangat ceria, segar dan ringkas untuk gaya kasual pada siang hari.
Ia turut menggabungkan corak bunga serta teknik ikat dan celup bagi memberikan gaya kelainan kepada anak-anak.
Pilihan koleksi kanak-kanak adalah seperti dres, baju-T, seluar pendek, topi dan cermin mata pelbagai warna.
















