fbpx

Video ajak berkumpul, polis beri amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan seorang individu memakai topeng muka melancarkan satu operasi yang dikenali sebagai 'Black Democracy' untuk menjatuhkan kerajaan.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan susulan tular satu video yang mengajak orang ramai berkumpul di beberapa lokasi, Rabu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, beliau mengingatkan orang ramai bahawa prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa.

“Polis akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke atas mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan apa jua bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP MKN yang mana boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, PDRM menyeru orang ramai untuk terus patuhi SOP dan bersama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan lekuk penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 40 saat tular di media sosial memaparkan seorang individu memakai topeng muka melancarkan satu operasi yang dikenali sebagai ‘Black Democracy’ untuk menjatuhkan kerajaan.

Di dalam video tersebut, individu terbabit mengajak orang ramai berhimpun di beberapa lokasi Rabu ini pada pukul 12 tengah hari dengan memakai baju hitam sebagai membantah keras pelaksananaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI