fbpx

Sorok dadah dalam Bentley

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis methamphetamine bernilai hampir RM6.43 juta semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

IPOH – Tindakan dua lelaki memandu kereta mewah jenis Bentley yang diubahsuai untuk membawa dadah terbongkar apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Gopeng, Rabu lalu.

Difahamkan, kereta Bentley Flying Spur berwarna kelabu itu singgah ke Gopeng untuk mencari bengkel kerana dipercayai mengalami kerosakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Gopeng pada pukul 7.30 petang.

Katanya, pemeriksaan pada kenderaan itu menjumpai 117 bungkusan teh Cina yang mengandungi 122.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine pada ruang penyimpanan barang bahagian belakang kenderaan yang diubah suai.

“Kedua-dua suspek dan kereta tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk pemeriksaan lanjut di mana enam lagi bungkusan teh Cina telah dijumpai dalam kenderaan itu.

“Dadah seberat 6.28 kg itu dijumpai pada ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim.

Menurut Mior Farid, nilai keseluruhan rampasan 128.78kg dadah jenis methamphetamine itu berjumlah RM6,439,000 selain pihaknya menyita wang tunai RM3,390.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan ke atas kedua-dua suspek namun hanya lelaki berusia 41 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan dari Johor ke utara dan dadah berkenaan adalah untuk pasaran utara.

“Suspek yang juga ahli perniagaan itu menggunakan surat rentas negeri untuk melepasi SJR namun dokumen berkenaan telah tamat tempoh,” katanya.

Semakan mendapati lelaki berusia 47 tahun itu mempunyai empat rekod lampau bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI